Tinggal di bandar bukanlah alasan ataupun penghalang bagi kita untuk mempelajari kraf tangan tradisional.
Malahan ia seharusnya dipergiat lagi bagi memastikan warisan turun-temurun daripada nenek moyang tidak luput ditelan zaman.
Sarawak merupakan salah satu negeri yang penuh dengan hasil kraf tangan tradisional ekoran kepelbagaian kaum dan etnik
Salah satu yang tidak asing di mata luar adalah kemahiran kaum wanita Iban dalam seni pembuatan tekstil terutama teknik tenunan karap.
Dungai Inyang, 42, seorang suri rumah sepenuh masa yang sentiasa mencari aktiviti-aktiviti berfaedah bagi mengisi masa lapang kini sedang aktif mempelajari teknik tenunan karap sekali gus menghasilkan kain tenunan sendiri.
“Sebagai suri rumah yang tinggal di bandar, saya mempunyai banyak masa lapang lebih-lebih lagi disebabkan keadaan Covid-19 sekarang ini dan kebanyakan anak-anak saya sudah besar serta bekerja.
“Jadi, bagi mengurangkan rasa bosan, saya banyak melakukan aktiviti seperti berkebun, menghasilkan rantai manik dan sebagainya.
“Tapi, buat masa ini, saya sedang sibuk menghasilkan kain tenun menggunakan teknik tenunan karap,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.
Dungai memberitahu, dia mendapat tunjuk ajar daripada seorang warga emas bernama Sudan Ruma yang sememangnya dikenali sebagai pakar tenunan karap di Bintulu.
“Sebelum ini, semasa keadaan (Covid-19) tidak begitu teruk, saya sering pergi ke rumah guru saya untuk melihat sendiri bagaimana beliau menghasilkan tenun karap.
“Jadi, cara beliau mengajar adalah dengan menunjukkan kepada kami di depan mata dan kami sebagai pelajar akan mempraktikkan sendiri di rumah,” jelasnya.
Selain itu, menurut Dungai, penting bagi pembuat untuk mempunyai peralatan yang diperlukan dalam penghasilan tekstil itu.
“Saya kurang pasti apa yang orang lain gunakan, tapi kebanyakan peralatan yang saya miliki adalah daripada nenek moyang saya.
“Dan setiap peralatan yang digunakan pula amat penting, jadi memang perlu wajib ada,” ujarnya.
Setakat ini, Dungai mempunyai dua produk tenunan karap yang sudah siap dan kini dalam proses menghasilkan satu lagi kain tenun itu.
“Berbanding orang lain, saya rasa masa yang saya gunakan untuk menyiapkan kain tenun ini mungkin agak lama kerana biasalah kalau masih dalam proses belajar.
“Tapi, itu tidak menjadi masalah kerana apa yang penting adalah kita mahu belajar dan dapat memastikan kemahiran ini terus hidup,” ujarnya lagi.
Oleh CAROLYNE UTIH