
LONDON: Puluhan ribu penyokong Arsenal mengetepikan kekecewaan selepas kegagalan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila turun beramai-ramai meraikan kejayaan kelab memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 2004 menerusi perarakan khas di London, Ahad.
Lautan penyokong The Gunners memenuhi jalan-jalan di utara ibu negara Britain untuk menyaksikan pemain dan pegawai pasukan mempamerkan trofi EPL di atas bas terbuka.
Berpakaian dengan warna rasmi kelab, merah dan putih, para penyokong bersorak, menyanyi, mengibarkan bendera serta menyalakan suar bagi meraikan kejuaraan liga pertama Arsenal dalam tempoh 22 tahun.
Malah, ada yang memanjat pokok, bumbung dan lampu isyarat semata-mata untuk mendapatkan pandangan terbaik terhadap pasukan kendalian Mikel Arteta.

Suasana meriah itu jauh berbeza daripada insiden kekacauan yang berlaku di Perancis selepas Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Arsenal dalam final UCL di Budapest pada Sabtu.
Arsenal mengesahkan kejuaraan EPL pada 19 Mei lalu selepas pencabar terdekat, Manchester City, sekadar seri menentang Bournemouth.
Kelab London itu berharap dapat melengkapkan musim cemerlang dengan meraih trofi UCL pertama dalam sejarah 140 tahun mereka, namun impian tersebut berkecai apabila tewas menerusi penentuan penalti kepada PSG selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.
Eberechi Eze dan Gabriel Magalhaes gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Arsenal, manakala PSG muncul juara Eropah buat musim kedua berturut-turut.

Kai Havertz terlebih dahulu meletakkan Arsenal di hadapan sebelum Ousmane Dembele menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua.
Bagi ramai penyokong, kejayaan memenangi EPL tetap menjadi pencapaian yang amat bermakna selepas Arsenal menamatkan saingan liga di tangga kedua selama tiga musim berturut-turut sebelum ini.
Nick Randall, yang berusia sembilan tahun ketika Arsenal kali terakhir muncul juara liga, sanggup memandu sejauh 320 kilometer dari Manchester bersama pasangan dan bayinya untuk menghadiri perarakan tersebut.
“Saya sedikit kecewa semalam, tetapi saya tetap bangga dengan pasukan ini,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Williams Ayodeji yang berasal dari Nigeria dan kini menetap di Edinburgh, menyifatkan kejuaraan EPL sebagai permulaan kepada kejayaan lebih besar.
“Saya sangat gembira. Sudah 22 tahun menunggu. Arsenal adalah sebahagian daripada hidup saya,” katanya.
Perarakan yang bermula sekitar jam 2 petang itu melalui laluan sejauh sembilan kilometer berhampiran Stadium Emirates di Islington dan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam untuk diselesaikan.
Empat bas mengambil bahagian dalam sambutan tersebut, termasuk sebuah bas yang membawa pasukan wanita Arsenal yang menjuarai Women’s Champions Cup pada Februari lalu. – AFP