
HAMILTON, Kanada: Rumah Putih mengeluarkan memorandum pakar perubatan pada Jumaat yang menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berada dalam “kesihatan yang sangat baik” susulan pemeriksaan fizikal tahunannya pada 26 Mei di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed, lapor Anadolu Ajansi.
Memo itu, yang ditandatangani doktor kepada presiden itu, Kapten Sean Barbabella, mendakwa umur jantung Trump adalah kira-kira 14 tahun lebih muda daripada usia kronologinya iaitu 79, berdasarkan analisis elektrokardiogram yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan.
Menurut memo itu, Trump memperoleh markah sempurna 30 daripada 30 pada Penilaian Kognitif Montreal, alat pemeriksaan standard untuk kecacatan kognitif, dan pemeriksaan neurologinya tidak menunjukkan kelainan.
Dalam penemuan yang menarik perhatian, memo itu mengaitkan lebam yang dilihat pada tangan Trump sebagai kerana “kerap berjabat tangan”, menggambarkannya sebagai “kesan biasa dan tidak berbahaya terapi aspirin.”
Menurut memo berkenaan, berat Trump ialah 238 paun (kira-kira 108 kilogram) dan menyatakan beliau mengambil dua ubat pengawalan kolesterol bersama aspirin untuk pencegahan penyakit jantung.
“Presiden Trump kekal dalam kesihatan yang sangat baik,” tambah memo itu, mengisytiharkan beliau “cergas sepenuhnya untuk menjalankan semua tugas Ketua Komander dan Ketua Negara.” – Bernama