
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda lima negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan hingga pukul 1.00 pagi, Sabtu.
MetMalaysia dalam kenyataan malam ini memaklumkan di Terengganu, kawasan yang terlibat ialah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang meliputi Lipis, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan serta Rompin.
Cuaca buruk itu turut dijangka melanda Segamat, Johor. Di Sarawak, kawasan diramalkan terjejas ialah Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau) dan Miri (Subis, Beluru, Miri serta Marudi).
Sementara itu, di Sabah, ribut petir dijangka berlaku di kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar), Tawau serta Sandakan (Tongod).
Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan terlibat boleh mengikuti perkembangan cuaca semasa dengan merujuk laman sesawang rasmi www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia dan aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini serta sahih. – Bernama