
KABONG: Ibadah korban bukan sahaja menuntut pengorbanan harta dan tenaga, malah mendidik umat Islam supaya sentiasa bersyukur, ikhlas serta memiliki sifat prihatin dan saling membantu antara satu sama lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, ibadah korban membawa pengertian besar dari segi pengorbanan, keikhlasan serta semangat berkongsi rezeki dengan masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, program ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.

“Saya berharap agar program-program seumpama ini dapat terus memperkukuhkan perpaduan, semangat gotong-royong dan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat di kawasan Kabong,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri program ibadah korban anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Assasul Islam Kampung Alit yang berlangsung di Masjid Lama Kampung Alit, semalam.
Pada program tersebut, sebanyak empat ekor lembu telah dikorbankan. Dalam majlis sama, Chee Kadir turut bersetuju menyalurkan peruntukan bagi pembinaan tandas baharu untuk kegunaan Masjid Lama Kampung Alit.

Menurut pihak penganjur, lokasi pelaksanaan ibadah korban di Kampung Alit dibuat secara penggiliran, dengan tahun ini diadakan di Masjid Lama Kampung Alit manakala tahun hadapan akan berlangsung di Masjid Assasul Islam Kampung Alit.
Program itu turut menyaksikan majlis perasmian projek naik taraf Masjid Lama Kampung Alit yang telah dilaksanakan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Sementara itu, Chee Kadir bersama rombongan turut menghadiri program penyembelihan dan agihan daging korban anjuran Persatuan Pesara Kabong (PEKA), yang menyaksikan sebanyak lima ekor lembu dikorbankan bagi pelaksanaan ibadah korban tahun ini.
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Masjid Assabirin Kabong bagi menghadiri Majlis Agihan Daging Korban Tahun 2026 anjuran Jawatankuasa Pengurusan masjid berkenaan.
Seramai 289 asnaf menerima agihan daging korban dalam usaha membantu golongan yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman