

NIAH: Seorang mangsa melecur di bahu kiri akibat sanggup meredah bahaya masuk semula ke dalam rumah ketika api sedang marak demi menyelamatkan pelbagai dokumen penting.
Mangsa, Mugang Jawi yang mendiami bilik nombor 11, ketika ditemui berkata kejadian kebakaran di Rumah Panjang Tuai Rumah Nelson Ningkan berlaku begitu pantas sehingga banyak barangan tidak sempat diselamatkan.
“Ketika menyedari kebakaran berlaku, kami terus berlari keluar dari rumah. Namun saya teringat akan dokumen-dokumen penting lalu masuk semula untuk menyelamatkannya.
“Ketika masuk semula ke dalam rumah, saya langsung tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Saya sendiri tidak sedar bagaimana bahu saya boleh melecur, mungkin kerana keadaan ketika itu terlalu panas,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu merupakan kali kedua rumah panjang mereka terbakar, dengan insiden pertama berlaku pada tahun 2004.
“Paling mendukakan, kami sudah membuat pelbagai persiapan untuk sambutan Hari Gawai Dayak yang hanya tinggal dua hari sahaja lagi,” katanya lagi.
Oleh Adum Liu