
LUBOK ANTU: Tiga lelaki dilaporkan mengalami kecederaan selepas lori yang dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan kendiri lalu terbabas di bahu jalan di Jalan Lubok Subong, petang tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.20 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian enam minit kemudian.

Menurut beliau, pengadu yang sedang dalam perjalanan pulang ke Lubok Antu memaklumkan ternampak sebuah lori terbabas di bahu jalan dan mengesyaki terdapat mangsa yang tersepit di bahagian pemandu sebelum menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan segera.
“Pasukan respons yang terdiri daripada tiga anggota MY ASPA-O Delta tiba di lokasi pada 4.37 petang dan terus menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki dewasa mengalami kecederaan akibat kemalangan berkenaan.

Mangsa pertama mengalami kecederaan pada bahagian leher serta sakit pada kaki kiri, manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada kaki kiri. Mangsa ketiga pula mengalami kecederaan patah pada jari tangan kanan.
APM kemudiannya memberikan bantuan awal kepada semua mangsa sebelum membawa mereka ke Klinik Kesihatan Merindun untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Leftenan Desem berkata, operasi menyelamat dan bantuan perubatan berjalan lancar sebelum pasukan menamatkan tugas di lokasi pada 4.56 petang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat.
“Sekiranya terdapat sebarang kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lubok Antu di talian 083-584639 untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Oleh Adi Safarman