Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lebih 50,000 masyarakat India bakal terima manfaat Program MITRA 2026 – Ramanan
  • NASIONAL

Lebih 50,000 masyarakat India bakal terima manfaat Program MITRA 2026 – Ramanan

Utusan Sarawak 7 hours ago
MENTERI Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan bercakap pada sidang media pengumuman Program MITRA Fasa 1 di Wisma HRD Corp hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 masyarakat India khususnya daripada golongan B40 dan M40 bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan enam inisiatif baharu di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi tahun 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan RM65.5 juta.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif Fasa 1 itu memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan dan bantuan sosial bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Beliau berkata pelaksanaan program berkenaan dapat direalisasikan susulan tambahan peruntukan RM50 juta kepada MITRA yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei lepas, menjadikan keseluruhan peruntukan agensi itu sebanyak RM150 juta tahun ini.

“Dengan dana tambahan ini, kita dapat meningkatkan jumlah bantuan dan membantu lebih ramai golongan memerlukan,” katanya pada sidang media pengumuman Program MITRA Fasa 1, di sini, hari ini.

Antara inisiatif utama diperkenalkan ialah Program Celik MADANI yang menyediakan subsidi pendidikan awal kepada kanak-kanak India B40 di peringkat tadika.

Program itu dijangka memberi manfaat kepada 4,000 penerima dengan bantuan maksimum RM2,530 seorang, membabitkan peruntukan RM10 juta.

Bagi pelajar sekolah menengah pula, Program Kalvi MADANI menawarkan kelas tuisyen percuma kepada 5,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40.

Ramanan berkata permohonan bagi program berperuntukan RM5 juta itu akan dibuka mulai 5 Jun ini kepada pusat tuisyen berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

Selain itu, katanya usahawan India B40 dan M40 turut diperkasa menerusi Program Uyarvu MADANI yang menyediakan geran permulaan perniagaan sehingga RM50,000 kepada 500 usahawan.

Katanya bantuan itu merangkumi pelbagai sektor termasuk e-dagang, automotif, teknologi digital, pertanian, percetakan dan perkhidmatan komuniti.

Dalam aspek kebajikan kesihatan pula, beliau berkata Program Arogya MADANI akan menyediakan subsidi rawatan dialisis sehingga RM5,000 setahun kepada 1,300 pesakit buah pinggang kronik dalam kalangan golongan B40 dan M40, membabitkan peruntukan RM6.5 juta.

Sementara itu, MITRA dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut melaksanakan Program Thunai MADANI bagi membantu individu dan keluarga masyarakat India B40 melalui bantuan kewangan serta sokongan kebajikan bagi meringankan kos sara hidup.

Program itu menyasarkan 10,000 penerima dengan bantuan maksimum sehingga RM5,000, tertakluk kepada penilaian kes oleh MITRA dan YKN.

Ramanan berkata antara bantuan disediakan termasuk bantuan bencana dan kecemasan, khairat kematian, utiliti asas, rawatan perubatan, peralatan kesihatan, intervensi awal autisme, bantuan mobiliti orang kurang upaya (OKU) serta bantuan ibu bersalin.

Selain itu, MITRA turut melaksanakan Program MADANI Rakyat Komuniti India bersama Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen kerajaan bagi menyantuni masyarakat India di kawasan luar bandar dan pedalaman di 38 daerah seluruh negara.

Beliau berkata setiap pusat khidmat akan menerima peruntukan RM150,000 bagi melaksanakan program berkaitan pendidikan, keusahawanan, sosial dan kesihatan.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat serta permohonan melalui laman rasmi MITRA di www.mitra.gov.my.

“Semua program yang dilaksanakan akan disusuli laporan pelaksanaan komprehensif serta pemantauan dan penilaian berkala oleh MITRA bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara telus, berkesan dan mencapai objektif ditetapkan,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Persiapan sambutan Hari Wesak lancar
Next: PM beri bayangan lebih banyak penjimatan dalam Belanjawan 2027

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.