
KUALA LUMPUR: Bagi kebanyakan orang, Festival Filem Cannes melambangkan glamor dan prestij, tetapi bagi ahli psikologi dan usahawan perubatan Malaysia, Dr Reshma Prakash, penampilan sulungnya di karpet merah ikonik itu tahun ini bukan hanya sekadar memperagakan fesyen.
Selepas dinobatkan sebagai naib juara Mrs Universe 2025, usahawan kelahiran Johor itu menyifatkan kehadirannya di antara festival filem paling berprestij di dunia itu sebagai satu pengalaman yang luar biasa dan sangat bermakna.
“Berjalan di karpet merah Cannes buat kali pertama benar-benar satu penghormatan. Ia bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu detik yang membanggakan dapat mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Reshma menghadiri Festival Filem Cannes ke-79 pada 17 Mei lepas di Cannes, Perancis, dan meluangkan masa menonton tayangan filem serta bertemu dengan tetamu antarabangsa daripada industri hiburan, fesyen dan perniagaan.
Beliau berkata peluang untuk menghadiri festival filem berprestij itu muncul susulan kejayaannya dalam pertandingan ratu cantik Mrs Universe 2025 yang diadakan di Filipina, yang mana beliau mewakili Asia dan muncul sebagai naib juara dalam kalangan peserta dari lebih 130 negara.
“Sebagai Mrs Universe, saya mewakili seluruh Asia. Selepas kemenangan itu, kami berpeluang untuk berada di sana (Cannes),” katanya.
Mengimbau suasana di festival tersebut model fesyen itu berkata walaupun kehadiran ramai selebriti terkenal dari seluruh dunia, para tetamu mempamerkan sikap profesional dan hormat sepanjang acara tersebut.
“Kami memang melihat ramai selebriti, tetapi kami tidak menunjukkan sikap terlalu teruja untuk bergambar dengan mereka kerana setiap orang yang menghadiri acara itu membawa standard dan profesionalisme mereka sendiri,” katanya.
Bagi penampilan sulungnya di Cannes, Reshma menggayakan busana “In The Dark Waves”, ciptaan couture oleh pereka Vietnam Minh Tuan Couture yang diinspirasikan daripada keanggunan abadi, kekuatan feminin dan alunan ombak di malam hari.
Gaun itu menampilkan hiasan tiga dimensi yang ditekapkan di bahagian tangan dan skirt baldu berlipat yang menunjukkan keanggunan pada setiap langkah, melambangkan keyakinan serta kekuatan wanita moden.
“Dengan kehadiran saya di Cannes, saya ingin tampil sebagai wanita Malaysia yang anggun, penuh keyakinan dan mampu berdiri dengan gah di pentas global,” katanya.

Di sebalik kemewahan dan glamor Cannes, perjalanan hidup Reshma disulami perjuangan dan ketabahan.
Anak kelahiran Segamat dan kini menetap di Johor Bahru itu dibesarkan oleh seorang ibu tunggal selepas kehilangan bapanya ketika beliau baru berusia sembilan bulan.
Reshma berkata melihat ibunya bekerja tanpa mengenal penat lelah sebagai jururawat dialisis untuk membesarkan dia dan kakak sulungnya telah memberi inspirasi kepada beliau untuk terus tekad berjaya meskipun berdepan kesukaran kewangan dan pernah dibuli semasa kecil.
Berbekalkan ijazah dalam bidang psikologi daripada sebuah universiti tempatan, Reshma membina kerjayanya sebagai ahli psikologi dan usahawan perubatan, menguruskan klinik, pusat dialisis dan kemudahan penjagaan kesihatan sambil mengimbangi tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang anak, termasuk sepasang anak kembar.
“Suami saya adalah tulang belakang dan sumber kekuatan utama saya. Pengalaman Cannes ini bukan sahaja pencapaian peribadi saya, tetapi juga detik kebanggaan bagi semua orang yang menyokong dan mempercayai saya selama ini,” kata Reshma yang mengahwini Dr Raymond Rony.
Selain daripada aktiviti peragaan dan perniagaan, Reshma berharap dapat terus berjuang memperkasakan wanita dan menyokong usaha yang melibatkan ibu tunggal, kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak kurang bernasib baik di samping memberi inspirasi kepada wanita untuk mengejar impian mereka tanpa rasa gentar. – Bernama