
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok menyalurkan bantuan kit makanan kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian pokok tumbang yang menimpa sebuah rumah panjang di Rumah Jenny, Lubok Renit, Temudok Krian, dekat sini semalam.
Menurut kenyataan media APM Saratok, bantuan tersebut disampaikan sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat kejadian yang berlaku susulan cuaca buruk.
Dalam insiden yang berlaku sekitar 7.08 malam pada Rabu lalu, seramai 15 penghuni rumah panjang berdepan detik cemas apabila sebatang pokok besar tumbang lalu menghempap kediaman mereka.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan tiupan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan sejak lewat petang, menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sebelum pokok terbabit tumbang.
Hasil siasatan di lokasi mendapati tiga bilik di rumah panjang tersebut, iaitu bilik nombor 20, 21 dan 22, terjejas akibat kejadian berkenaan dengan keseluruhan mangsa berjumlah 15 orang.


Bilik nombor 22 mengalami kerosakan paling teruk apabila bahagian bumbung dapurnya runtuh sepenuhnya akibat dihempap pokok, manakala bilik nombor 20 dan 21 tidak mengalami kerosakan struktur yang serius.
Bagaimanapun, semua mangsa yang berusia antara lima hingga 58 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
Pasukan penyelamat mengambil masa hampir satu jam untuk memotong dan mengalihkan batang pokok yang menghempap kediaman tersebut sebelum kawasan itu disahkan selamat sepenuhnya.
Sementara itu, APM Saratok memaklumkan bantuan kit makanan yang disalurkan bertujuan memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara sementara mereka berdepan kesan kejadian tersebut.
Turut hadir dalam penyaluran bantuan itu ialah pegawai daripada Pejabat Daerah Saratok, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RELA Daerah Saratok.
Kerjasama pelbagai agensi itu membuktikan komitmen bersepadu dalam membantu penduduk yang terjejas, manakala APM Saratok menegaskan akan terus bersedia melaksanakan tugas kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman