
SIBU: Sarawak Water sedang mempergiat usaha bagi menangani gangguan bekalan air yang menjejaskan pengguna di kawasan Teku Pasai menjelang sambutan Hari Gawai yang semakin hampir.
Dalam satu kenyataan hari ini, Sarawak Water memaklumkan pihaknya memahami kesulitan yang dialami penduduk dan kini melaksanakan beberapa tindakan segera bagi membantu menstabilkan bekalan air di kawasan terlibat.
Antara langkah yang sedang dijalankan termasuk penghantaran air bersih menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas serta kerja pembaikan kebocoran paip yang dikenal pasti di lapangan.
“Pasukan operasi dan teknikal Sarawak Water juga sedang menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan segala tindakan di lapangan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi mengurangkan impak kepada pengguna,” menurut kenyataan tersebut hari ini.
Dalam masa sama, beberapa pelan penambahbaikan turut dirancang dan dilaksanakan secara berfasa bagi memperkukuhkan sistem bekalan air untuk jangka sederhana dan panjang.
Antara projek yang dirancang termasuk pelaksanaan Projek Acute Plant di Rantau Panjang sebagai penyelesaian jangka sederhana selain projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim, pelaksanaan saluran paip air khusus, pembinaan Tangki Aras Tinggi di Rantau Panjang serta program penggantian paip baharu di kawasan Teku.
Sarawak Water turut memaklumkan bahawa pelbagai usaha dan projek penambahbaikan sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa kawasan lain termasuk Sibu Jaya dan Nibong Tada bagi membantu menstabilkan sistem bekalan air serta meningkatkan kapasiti bekalan kepada pengguna.
Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan sama akan terus diperkukuhkan di kawasan Teku Pasai menerusi tindakan segera, penyelesaian jangka sederhana dan projek penambahbaikan jangka panjang yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Sarawak Water memberi jaminan bahawa isu ini sedang diberi perhatian serius dan dipantau secara berterusan oleh pihak pengurusan serta pasukan teknikal kami.
“Segala usaha sedang dipergiatkan bagi memastikan sistem bekalan air di kawasan terjejas dapat dipulihkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sarawak Water turut menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna yang terjejas dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini akan disalurkan menerusi saluran rasmi syarikat itu dari semasa ke semasa.