Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • KPDN perketat pemantauan harga barangan keperluan sempena Hari Gawai
  • TEMPATAN

KPDN perketat pemantauan harga barangan keperluan sempena Hari Gawai

Utusan Sarawak 9 hours ago
SIDANG MEDIA… Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin semasa mengadakan sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2026 di sebuah pasar raya hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Pemantauan harga barangan keperluan sempena sambutan Hari Gawai 2026 dipertingkatkan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2026 bagi memastikan pengguna menikmati harga berpatutan sepanjang musim perayaan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin mengadakan tinjauan mesra di Pasar Raya Emart, Tabuan Jaya di sini, hari ini bagi meninjau tahap pematuhan peniaga terhadap skim berkenaan.

Menurut kenyataan media KPDN Sarawak, SHMMP Hari Gawai 2026 dilaksanakan selama sembilan hari iaitu bermula lima hari sebelum sambutan, sehari ketika perayaan dan tiga hari selepas Hari Gawai.

Sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan di bawah skim kawalan harga maksimum termasuk ayam tua hidup, kepak ayam, daging kerbau import dari India, bawang putih dari China, kubis bulat import, cili kering keriting serta beberapa produk berkaitan kelapa dan daging khinzir.

Turut dikawal ialah harga kelapa biji di peringkat borong, kelapa parut dan santan kelapa di peringkat runcit selain khinzir hidup di peringkat ladang.

Pelaksanaan skim tersebut dikuatkuasakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) melibatkan peringkat pemborong dan peruncit di seluruh negeri.

Bagi memastikan pematuhan berterusan, KPDN Sarawak menggerakkan seramai 207 Pegawai Penguat Kuasa serta 101 Pegawai Pemantau Harga di lokasi strategik seluruh Sarawak bagi memantau bekalan dan harga barangan keperluan perayaan.

Pemeriksaan dijalankan secara berterusan di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan berlaku selain membolehkan tindakan segera diambil terhadap peniaga yang melanggar peraturan ditetapkan.

Pengguna juga boleh menyemak harga maksimum barangan terkawal menerusi laman sesawang rasmi KPDN.

Dalam pada itu, Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata kementerian akan mempertingkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di lokasi tumpuan pengguna bagi mewujudkan suasana perniagaan yang selamat serta beretika sepanjang musim perayaan.

Katanya, bermula 1 Januari hingga 27 Mei lalu, sebanyak 61,257 premis di seluruh Sarawak telah diperiksa menerusi operasi penguatkuasaan berskala besar.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 965 kes direkodkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah akta seliaan kementerian dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM12.47 juta manakala kutipan kompaun berjumlah RM228,400,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 547 kes direkodkan di bawah AKHAP 2011 melibatkan kesalahan berkaitan kawalan harga dan antipencatutan.

“Kesalahan di bawah akta tersebut melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1,205.45 manakala nilai kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM141,800,” jelasnya.

KPDN Sarawak turut mengingatkan semua peniaga agar mematuhi harga maksimum yang ditetapkan selain menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan kompaun sehingga RM50,000.

Syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu, bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu pada barangan terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menyalurkannya menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Talian Utama 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi Ez ADU KPDN.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Pemilik rumah mohon polis siasat semula dakwaan penipuan renovasi
Next: MIS: LPB, SAINS salur RM3 juta zakat perniagaan kepada TBS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.