
PETRA JAYA: Sarawak dijangka membuka tender bagi pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebagai langkah memperkukuh infrastruktur tenaga dan menyokong peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, beliau dimaklumkan bahawa Sarawak Energy Berhad (SEB) akan melaksanakan proses tender bagi sistem berkenaan dalam usaha memastikan kestabilan grid elektrik pada masa depan.
Menurut beliau, keperluan terhadap BESS semakin penting berikutan pertambahan projek tenaga boleh diperbaharui yang tidak bergantung kepada sumber beban asas seperti hidro dan gas.
“Sarawak, saya dimaklumkan bahawa SEB juga akan membukakan tender untuk bekalan BESS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pengagihan Daging Korban di Surau Darul Ehsan Kampung Sinjan, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, teknologi BESS berfungsi menyimpan lebihan tenaga yang dijana sebelum menyalurkannya semula mengikut keperluan penggunaan sekali gus membantu menstabilkan sistem grid elektrik.
Katanya, penggunaan teknologi itu kini menjadi komponen penting dalam pembangunan tenaga moden, terutama bagi menyokong integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar.
“Bila solar ini bergantung kepada matahari, ada masa bekalan tinggi dan ada masa berkurangan. Jadi untuk menstabilkan grid, kita perlu bateri.
“Bila dimasukkan bateri, bekalan dapat disalurkan mengikut penggunaan dan grid menjadi lebih stabil,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan BESS turut dilaksanakan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sabah bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik negara.
Baru-baru ini, Fadillah merasmikan projek BESS Santong di Dungun, Terengganu yang berkapasiti 100 megawatt (MW) dengan simpanan tenaga 400 megawatt-jam (MWh) serta memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 pengguna di Pantai Timur.
Beliau berkata, projek itu menjadi antara sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar pertama di negara ini dan mampu membantu memperkukuh kestabilan bekalan elektrik serta menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Oleh Shahrul Qaizat