BEIJING: Pelbagai tempat di China mengeluarkan baucar dan angpau tunai sebagai insentif untuk menggalakkan penduduk menyambut Tahun Baharu Cina di lokasi masing-masing dan tidak pulang ke kampung.
Shenzhen, Suzhou dan Beijing antara bandar perintis terawal memperkenalkan ampau renminbi digital atau e-RMB, yang turut menambah kemeriahan sambutan perayaan itu.
Pada hari pertama cuti, ampau bernilai 30 juta yuan (RM18.78 juta) telah diedarkan kepada pengguna di Suzhou. Kaunter e-RMB juga dibuka di banyak kedai jenama terkenal yang bersejarah di bandar itu.
Aktiviti secara percubaan itu membolehkan ekonomi digital disepadukan dengan jenama klasik.
Di Beijing pula, dengan tema Sukan Olimpik Musim Sejuk, penggunaan e-RMB tertumpu pada permainan ais dan salji, makanan, penginapan, pengangkutan, pelancongan, beli-belah dan rekreasi, bertujuan memacu permintaan domestik.
Sebanyak 50,000 ampau dimasukkan ke e-dompet pengguna menerusi cabutan bertuah, masing-masing bernilai 200 yuan (RM125).
Pada masa sama, Gala Tahun Baharu Cina anjuran Kumpulan Media China (CMG) menyajikan temasya budaya bertaraf tinggi kepada penonton di serata dunia.
Diadakan di ambang perayaan pada malam Khamis, gala itu menghidangkan pelbagai persembahan menarik termasuk nyanyian, tarian, opera, sketsa komedi dan dialog rancak “crosstalk”.
Menonton acara itu bersama keluarga sudah menjadi antara tradisi lazim rakyat China.
Selain memaparkan keunikan budaya tradisional, atur cara persembahan juga mengetengahkan pelbagai tema seperti program pembasmian kemiskinan dan usaha memerangi wabak Covid-19.
Diinspirasikan daripada kehidupan seharian masyarakat, persembahan itu selain mempesonakan ia turut menyentuh perasaan penonton.
Gala itu turut memaparkan kebudayaan pelbagai negara dan diserikan persembahan artis luar negara.
Penonton juga berpeluang menyaksikan pelbagai teknologi canggih yang digunakan seperti “AI+3D”, khusus untuk memberikan kesan audio visual luar biasa.
Gala itu disiarkan secara langsung dan mendapat liputan lebih 600 media dari 170 negara dan wilayah.
Lintas langsungnya diikuti seramai 1.14 bilion penonton, antaranya 569 juta melalui platform media baharu dan 571 juta melalui televisyen. -Bernama