
KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd, melalui anak syarikat milik penuh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) telah memperoleh kontrak pembekalan insulin kepada kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh negara selama tiga tahun bernilai RM281.7 juta daripada Kementerian Kesihatan.
Syarikat farmaseutikal itu melalui satu kenyataan berkata anugerah ini mencerminkan keupayaan pembuatan kumpulan yang mantap, rekod prestasi pelaksanaan yang terbukti dan penjajaran berterusan dengan keutamaan penjagaan kesihatan negara.
Pada masa yang sama, kontrak itu akan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekosistem farmaseutikal serta penjagaan kesihatan negara.
Menurut syarikat itu, kontrak tersebut mewakili 70 peratus daripada jumlah volum tender, menggariskan skala Pharmaniaga, kesediaan operasi dan kapasiti untuk menyokong keperluan bekalan volum besar di seluruh negara.
Pharmaniaga berkata ia juga mengukuhkan asas hasil berulang kumpulan dalam segmen penjagaan kesihatan awam, sambil meningkatkan lagi keterlihatan pendapatan sepanjang tempoh kontrak.
“Yang penting, anugerah itu mengukuhkan peranan Pharmaniaga yang semakin meningkat dalam segmen biofarmaseutikal, khususnya dalam pengeluaran dan pembekalan rawatan penyakit kronik kritikal seperti insulin.
“Memandangkan permintaan untuk terapi sedemikian terus bertambah, keupayaan kumpulan dalam segmen ini telah meletakkannya dalam kedudukan untuk mengambil peluang pertumbuhan jangka panjang, sambil menyumbang secara bermakna kepada pembangunan ekosistem pembuatan farmaseutikal domestik yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Pengarah Urusan Pharmaniaga Datuk Zulkifli Jafar berkata kumpulan itu berbesar hati untuk menyumbang kepada keutamaan penjagaan kesihatan Kementerian Kesihatan, di samping mengukuhkan lagi keupayaan pembuatan dan rantaian bekalannya dalam perkhidmatan negara.
“Anugerah ini mencerminkan hala tuju strategik yang telah kami tetapkan di bawah Visi ONE30, yang memfokuskan pada memajukan keupayaan biofarmaseutikal, mengukuhkan kepimpinan generik kami, meningkatkan kecemerlangan logistik dan membuka nilai daripada kawasan pertumbuhan baharu bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.
Kontrak itu datang tepat pada masanya memandangkan perkembangan geopolitik semasa telah menyerlahkan untuk kepentingan bagi membina ekosistem farmaseutikal domestik yang lebih berdaya tahan dan berdikari.
“Memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, khususnya untuk rawatan penyakit penting dan kronik seperti insulin, akan menjadi kritikal dalam menjamin keselamatan perubatan negara selain memastikan akses mampan kepada rawatan untuk rakyat pada tahun-tahun akan datang,” kata Zulkifli. – Bernama