
MATU: Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap isterinya serta khianat dengan membakar rumah di Kampung Treng Sekaan Besar, Matu.
Ketua Polis Daerah Matu-Daro, DSP Rahim Mihos berkata, suspek berusia 26 tahun itu dipercayai mengamuk dan mengugut untuk membunuh mangsa sekiranya mangsa enggan tinggal bersamanya.
“Suspek turut bertindak menakutkan mangsa dengan membakar bahagian beranda dan dinding rumah yang didiami mangsa bersama keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu-Daro dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan benzodiazepine.
“Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah narkotik,” katanya.
Menurutnya, suspek telah direman selama empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak.
“Pada hari ini, suspek telah didakwa di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sarikei.
“Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. Kes ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 9 Jun depan. Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh ditempatkan di Penjara Sibu,” katanya.
Oleh Akun Giman