

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyumbangkan 24 ekor kerbau bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha di Daerah Lawas tahun ini.
“Tahun ini, sempena sambutan Aidiladha, kita mengagihkan 24 ekor kerbau untuk ibadah korban dan ia telah diagihkan ke beberapa kampung di Daerah Lawas bermula Isnin lalu.
“Kita berharap agihan ini dapat menyemarakkan sambutan Aidiladha di samping meneruskan amalan kebajikan yang membawa keberkatan serta mempermudah urusan kita di dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan simbolik penyerahan kerbau korban di Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas pada Isnin.
Dalam pada itu, Awang Tengah turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Aidiladha kepada seluruh rakyat Sarawak.
Beliau turut mendoakan agar rakyat negeri ini sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT serta dikurniakan rahmat dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip serta Pengerusi Masjid Besar Darul Ma’mur Lawas, Haji Awang @ Ibrahim Ahmad bersama jawatankuasa masjid berkenaan.
Oleh Adeng Edrus