Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Pembantu pelakon ‘Friends’ dihukum penjara lebih tiga tahun atas kematian Matthew Perry
  • HIBURAN

Pembantu pelakon ‘Friends’ dihukum penjara lebih tiga tahun atas kematian Matthew Perry

Utusan Sarawak 3 hours ago
PEMBANTU peribadi Matthew Perry, Kenneth Iwamasa (kanan) dipenjara 41 bulan selepas mengaku menyuntik pelakon siri popular “Friends” itu dengan ketamin sebelum maut akibat pengambilan dadah berlebihan pada 2023.

LOS ANGELES: Bekas pembantu peribadi yang mengaku menyuntik pelakon Matthew Perry dengan ketamin sebelum bintang siri “Friends” itu maut akibat pengambilan berlebihan dadah, dijatuhi hukuman penjara lebih tiga tahun oleh mahkamah persekutuan pada Rabu, sekali gus menutup satu lagi episod dalam kes dadah berkaitan kematian Perry pada 2023.

Kenneth Iwamasa, pembantu dan penjaga Perry yang telah lama berkhidmat, dijatuhi hukuman penjara 41 bulan oleh mahkamah persekutuan di Los Angeles selepas mengaku bersalah atas pertuduhan konspirasi mengedar ketamin sehingga menyebabkan kematian Perry. Beliau turut diperintahkan membayar denda sebanyak AS$10,000 serta menjalani pengawasan selama dua tahun selepas dibebaskan.

Perry, yang terkenal menerusi watak Chandler Bing dalam sitkom popular dunia “Friends”, ditemukan meninggal dunia pada usia 54 tahun pada 2023 di dalam tab mandi panas di kediamannya di Los Angeles. Pemeriksa perubatan memutuskan ketamin merupakan punca utama kematian akibat kesan “akut” dadah itu, manakala lemas disenaraikan sebagai faktor penyumbang.

Pendakwa persekutuan berkata Iwamasa, yang tidak mempunyai latihan perubatan, berulang kali menyuntik Perry dengan ketamin pada minggu-minggu terakhir hayat pelakon itu walaupun menyaksikan reaksi fizikal yang membimbangkan.

Menurut dokumen mahkamah, Iwamasa menyuntik Perry sekurang-kurangnya 27 kali dalam tempoh beberapa hari sebelum kematiannya, termasuk beberapa suntikan pada hari pelakon itu meninggal dunia. Pendakwa raya berkata Perry membelanjakan kira-kira AS$55,000 untuk mendapatkan ketamin dalam tempoh dua bulan sebelum kematiannya.

Lima individu akhirnya didakwa berhubung kematian Perry akibat pengambilan berlebihan dadah itu, termasuk dua doktor, seorang orang tengah pengedaran dadah, Iwamasa dan pengedar dadah North Hollywood, Jasveen Sangha.

Awal tahun ini, Sangha dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas mengaku bersalah menjual dos ketamin yang menurut pendakwa raya menyebabkan kematian Perry. Pendakwa persekutuan menyifatkan kediamannya di North Hollywood sebagai “pusat pengedaran dadah” untuk pelanggan kaya dan selebriti.

Salvador Plasencia, seorang lagi tertuduh yang juga doktor, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana membekalkan ketamin secara haram kepada Perry. Seorang lagi doktor, Mark Chavez, dikenakan hukuman tahanan rumah selama lapan bulan serta pengawasan selama tiga tahun.

Ketamin ialah ubat bius kuat yang diluluskan untuk kegunaan perubatan terhad, namun semakin banyak digunakan dalam persekitaran terkawal bagi merawat kemurungan dan masalah kesihatan mental kronik.

Pakar berkata dadah itu boleh menjadi berbahaya jika digunakan secara rekreasi atau tanpa pengawasan perubatan kerana ia boleh menjejaskan pernafasan, kesedaran dan fungsi kardiovaskular.- Bernama-Xinhua

Continue Reading

Previous: Pasya yakin pentas bersama Search luaskan pengaruh karier solo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.