
PPJKKM cadang tempoh sah pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak dilanjutkan daripada lima kepada 10 tahun bagi kurangkan beban pentadbiran dan tingkatkan kualiti pengurusan serta pembelajaran.
KUANTAN: Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia (PPJKKM) mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh sah pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak (PJKK) dilanjutkan daripada lima tahun kepada sepuluh tahun.
Pengasas dan Pengerusi PPJKKM Simon Ng berkata ini bagi membolehkan pengusaha memberi lebih tumpuan kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pengurusan, selain mengurangkan prosedur pentadbiran berulang serta meningkatkan kecekapan operasi industri secara keseluruhan.
“PJKK bukan sahaja bertanggungjawab menjaga pembelajaran dan keselamatan kanak-kanak selepas waktu sekolah, malah turut menanggung kos tenaga kerja, latihan dan operasi. Jika tempoh sah pendaftaran dapat dipanjangkan, ia akan membantu pengusaha merancang pembangunan jangka panjang dengan lebih stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata PPJKKM menggalakkan semua PJKK yang masih belum berdaftar di seluruh negara supaya segera melengkapkan proses pendaftaran bagi memperkukuhkan piawaian industri serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan terjamin untuk para pelajar.
“Sistem pendaftaran bukan sahaja membantu meningkatkan mutu perkhidmatan PJKK secara keseluruhan, malah dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa kerana anak-anak dapat belajar dan membesar dalam persekitaran yang lebih tersusun serta dipantau dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Simon menegaskan bahawa PPJKKM akan terus berhubung dengan pihak berkaitan untuk menyuarakan pandangan dan berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dan pemain industri dalam memajukan industri pusat jagaan selepas sekolah yang lebih profesional dan sistematik. – Bernama