
LIMBANG: Sebanyak 40 ekor kerbau telah ditumbangkan hasil sumbangan wakil rakyat, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta jawatankuasa masjid dan surau sempena sambutan Aidiladha di daerah ini pada tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota turut mengorbankan 16 ekor kerbau dikorbankan pada tahun ini.

Malahan Ahli Parlimen dan Pusat Khidmat Batu Danau juga ada menyediakan korban di beberapa kawasan terpilih.
“Seperti biasa setiap tahun, kira-kira 30 hingga 40 ekor kerbau dikorbankan di kawasan Limbang. Kita berharap masyarakat akan terus bersatu padu.
“Kita juga akan mengagihkan sumbangan daging korban kepada golongan asnaf agar mereka dapat menyambut Aidiladha dengan lebih baik pada tahun ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ibadah Korban Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) di Masjid Jannatul Firdaus, Bahagian Limbang, semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menyumbang sebanyak tiga ekor kerbau termasuk seekor sumbangan daripada beliau sendiri yang diagihkan kepada 80 penerima asnaf.
Dr Abdul Rahman turut mengucapkan Selamat Hari Raya Korban kepada masyarakat Islam di Sarawak serta menggesa agar mereka menghayati makna sebenar ibadah korban di samping memperkukuh ukhuwah sesama umat Islam.
Oleh Adeng Edrus