
SHAH ALAM: Ketika kopitiam tradisional semakin diasak perubahan gaya hidup dan kemunculan kafe moden, generasi pewaris hari ini tampil dengan pendekatan tersendiri bagi memastikan warisan keluarga terus relevan serta dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi pemilik Guan’s Kopitiam, Pua Jia Ler, 30, usaha mempertahankan legasi kopitiam bukan sekadar mengekalkan resipi warisan keluarga, tetapi turut memastikan hidangan tradisional itu dapat dikongsi bersama pelanggan berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata konsep traditionally modern menjadi identiti utama perniagaan keluarga yang menggabungkan elemen tradisional dan moden menerusi suasana premis, penyajian makanan serta pilihan minuman.
“Kami masih mengekalkan resipi keluarga seperti sambal nasi lemak yang diwarisi daripada nenek, tetapi pada masa sama tampil dengan suasana dan penyajian lebih moden,” katanya kepada Bernama.
Menurut Pua, pencapaian memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)tahun lepas menjadi antara langkah penting dalam memperluas kelompok pelanggan supaya lebih ramai dapat menikmati sajian tradisional diwarisi keluarganya.

“Kami mahu semua lapisan masyarakat dapat menikmati makanan tradisional yang kami bawakan. Sebab itu kami ambil sijil halal supaya pelanggan lebih yakin dan selesa untuk datang makan bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Konsep itu selari dengan nama “Guan” yang diambil sempena nama bapanya, Kim Guan dan dalam bahasa Mandarin membawa maksud “akar”, sekali gus melambangkan pegangan mereka terhadap asal-usul serta tradisi keluarga walaupun tampil dengan konsep lebih kontemporari.
Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di Kota Kinabalu pada 2019, Guan’s Kopitiam kini berkembang kepada enam cawangan iaitu tiga di Kota Kinabalu serta masing-masing satu di SS4 Petaling Jaya, Puchong dan Alinea Suites, Shah Alam.

Beliau berkata selain mengekalkan hidangan tradisional, penggunaan campuran kopi Robusta dan Arabica di beberapa cawangan turut menjadi antara keistimewaan utama premis berkenaan bagi menarik pelanggan pelbagai peringkat usia.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Pua berkata pihaknya lebih selesa memperluas operasi secara terkawal berbanding menggunakan model francais demi memastikan mutu makanan dan kualiti perkhidmatan terus terpelihara.
“Kami mahu berkembang secara konsisten tanpa mengorbankan mutu makanan. Dalam industri makanan dan minuman, keikhlasan dalam penyediaan hidangan amat penting dan itu yang kami mahu kekalkan,” katanya.

Sementara itu, bagi pengurus Chong Kok Kopitiam, Lim E Siang, 25, keputusan meninggalkan kerjaya tetap sebagai akauntan pada 2024 demi meneruskan perniagaan keluarga berusia 86 tahun merupakan amanah besar yang dipikul bersama adiknya, Lim E Shen, 21.
Menurut beliau, perniagaan yang diasaskan moyangnya Foo Wah Ling pada 1940 itu diteruskan generasi kedua iaitu datuk dan neneknya Foo Hee Hoe dan Yu Siok Kuk sebelum diwarisi bapa saudaranya Foo Cher Ming ibu saudaranya Foo Mee May serta ibunya sendiri Foo Mei Lee.
“Walaupun konsep kopitiam tradisional semakin jarang dilihat, pelanggan masih datang kerana mereka mahukan rasa asli dan nostalgia yang sukar diperoleh di tempat lain,” katanya ketika ditemui di premis itu di Jalan Stesen, Klang.

Beliau berkata antara tarikan utama premis berkenaan ialah kaya buatan sendiri yang dimasak menggunakan telur itik, sekali gus menghasilkan tekstur lebih berlemak dan rasa lebih enak berbanding penggunaan telur ayam.
“Kami masih mengekalkan cara tradisional memasak kaya dan biasanya disediakan setiap dua hari sekali. Selain menggunakan telur itik, kami turut menambah sedikit halia untuk mengurangkan bau telur tersebut. Itu yang menjadi identiti kami sejak dahulu,” katanya.
Premis itu turut menawarkan pelbagai kuih tradisional Melayu dan Nyonya seperti karipap, kuih koci serta nasi lemak Pulau Ketam yang menjadi pilihan pelanggan.- Bernama