
KUALA LUMPUR: Dalam era ledakan maklumat tanpa sempadan dan kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI), wartawan serta media arus perdana kini menjadi benteng terakhir dalam mempertahankan kebenaran, sekali gus mengekang penularan berita palsu yang mampu menggugat keselamatan negara serta keharmonian masyarakat.
Pakar komunikasi berpandangan lambakan maklumat tidak sahih di media sosial kini berada pada tahap membimbangkan, terutama kandungan berunsur provokasi, kebencian dan manipulasi emosi yang berpotensi mencetuskan panik awam, konflik kaum serta krisis kepercayaan terhadap institusi negara.
Ketua Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Aisah Meri berkata dalam situasi itu, media arus perdana memainkan peranan penting sebagai pengimbang dan gatekeeper kepada lambakan maklumat yang beredar di ruang digital.
Beliau berkata fungsi wartawan pada masa ini tidak lagi sekadar melaporkan berita, sebaliknya turut memikul tanggungjawab besar untuk mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat sebelum disebarkan kepada masyarakat.
“Jika dahulu fungsi wartawan itu hanya terhad untuk melaporkan, pada hari ini peranannya telah berevolusi. Selain melaporkan, media arus perdana kini memikul tanggungjawab besar untuk mengesahkan sesuatu maklumat.
“Jadi, fungsi media arus perdana yang memegang etika kewartawanan yang ketat itu amat penting untuk bertindak sebagai pengimbang serta gatekeeper kepada maklumat yang berlegar di ruang digital,” katanya kepada Bernama.
Aisah berkata penularan berita palsu tidak boleh lagi dianggap sebagai isu komunikasi biasa kerana kesannya mampu menghakis kestabilan sosial, politik dan keselamatan negara.
Mengulas cabaran teknologi AI termasuk manipulasi deepfake dan teks janaan AI, beliau berkata organisasi media perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan tidak boleh terus kekal konservatif.
Pengamal media, katanya, perlu melengkapkan diri dengan kemahiran forensik digital serta teknologi pengesahan kandungan selain mewujudkan garis panduan etika penggunaan AI yang jelas dalam organisasi media.
“Algoritma platform digital hari ini lebih mengutamakan interaksi berbanding kesahihan maklumat, sebab itu media perlu lebih bersedia menghadapi cabaran baharu ini,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Zaiamri Zainal Abidin berkata media arus perdana perlu berusaha meraih semula keyakinan masyarakat yang masih mempunyai stigma bahawa institusi media dikawal pihak tertentu.
Pakar komunikasi strategik itu berkata masyarakat perlu memahami bahawa proses penapisan maklumat oleh media profesional bukan bertujuan menyekat naratif, sebaliknya memastikan hanya maklumat yang telah disahkan disampaikan kepada umum.
“Institusi media berperanan besar sebagai penapis profesional dalam membezakan antara fakta, spekulasi, propaganda serta maklumat yang dimanipulasi.
“Jadi, kita perlu meningkatkan literasi media masyarakat agar mereka faham proses verifikasi yang membezakan institusi media profesional dengan kewartawanan warga,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pendekatan “kewartawanan data” diperluas dalam organisasi media bagi memperkukuh ketepatan dan kualiti pelaporan pada era digital.
“Penggunaan teknologi termasuk analitik data digital amat kritikal untuk memantapkan lagi kualiti dan ketepatan sesuatu pelaporan analitikal.
Wartawan dan editor juga perlu sentiasa diperkukuh dari sudut pemahaman teknologi, latihan berterusan serta dasar editorial yang mantap,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata media arus perdana perlu lebih agresif menghasilkan kandungan mikro di media sosial bagi menyaingi kepantasan penyebaran berita palsu di platform sama.
Beliau berkata institusi media juga perlu menguasai strategi algoritma dan penggunaan kata kunci bagi memastikan kandungan sahih memperoleh capaian lebih luas kepada pengguna.
“Media arus perdana masih menjadi sumber semakan dan rujukan fakta sahih, namun dalam era Ekonomi Perhatian Media, ia bukan lagi satu-satunya sumber yang diberi perhatian masyarakat,” katanya.
Ahmad Sauffiyan berkata kajian Institut Teknologi Massachusetts (MIT) mendapati berita palsu yang mempunyai elemen emosi tersebar enam kali lebih pantas berbanding berita sahih.
“Kajian membuktikan kepantasan maklumat di media sosial bergerak berdasarkan sejauh mana sesuatu kandungan itu mencetuskan emosi,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan pengamal media mengaplikasikan elemen affective lead atau emotional lead dalam penulisan berita bagi menarik perhatian pembaca tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan beretika. – Bernama