Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Hari Gawai: Mempertahankan warisan dalam arus pemodenan
  • TEMPATAN

Hari Gawai: Mempertahankan warisan dalam arus pemodenan

Utusan Sarawak 6 hours ago
BEKAS Pembantu Penyelidik Majlis Adat Istiadat Sarawak Philip Igai ketika temu bual bersama Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUCHING: Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Gawai, masyarakat Dayak di Sarawak berdepan dengan cabaran mempertahankan adat serta warisan mereka, terutamanya dalam mendepani arus pemodenan.

Bekas Pembantu Penyelidik Majlis Adat Istiadat Sarawak Philip Igai berkata sambutan Hari Gawai kini banyak berubah berbanding ketika era 1960-an hingga 1980-an yang lebih mengutamakan unsur ritual dan adat tradisional.

Beliau berkata antara faktor yang menjadi punca amalan ritual tradisional tidak lagi dilaksanakan adalah kerana perubahan pegangan agama dalam kalangan masyarakat Dayak, terutamanya selepas ramai yang memeluk agama Kristian.

“Dahulu, terdapat lebih banyak unsur tradisional seperti Gawai Umai dan Gawai Tuah yang melibatkan golongan tua dengan pelbagai upacara adat.

“Orang-orang tua pada masa itu memainkan peranan utama dalam mengurus upacara. Pada hari ini, kebanyakan upacara tradisional semakin jarang dan hampir tidak dijalankan,” katanya kepada Bernama.

Bekas guru berusia 76 tahun itu berkata bagi menarik minat dan penglibatan generasi muda, jawatankuasa sambutan Gawai di rumah panjang kini lebih cenderung merancang aktiviti sesuai untuk golongan berkenaan.

Antara pengisian utama, katanya, termasuklah pertandingan sukan seperti sepak takraw dan futsal, malah terdapat juga penganjuran aktiviti karaoke yang turut mendapat sambutan.

PHILIP Igai menunjukkan gambar beliau sedang melakukan upacara ‘Miring’ yang terkandung di dalam buku teks sekolah ketika temu bual bersama Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Walaupun begitu, usaha memelihara warisan budaya masih diteruskan. Di kawasan Betong misalnya, terdapat kelab serta persatuan tertentu yang membantu generasi muda mempelajari seni budaya tradisional,” katanya.

Philip berkata walaupun unsur tradisional semakin berkurangan, sambutan Hari Gawai yang disambut pada 1 dan 2 Jun masih kekal sebagai simbol identiti masyarakat Dayak yang terdiri daripada hampir 30 etnik di Sarawak.

Beliau berkata usaha menjadikan sambutan Gawai Dayak sebagai sambutan peringkat nasional telah lama dibincangkan sejak awal 1960-an oleh pemimpin seperti Datuk Seri Tra Zehnder.

“Sebelum diiktiraf secara rasmi, masyarakat Dayak meraikan pelbagai pesta Gawai mengikut kaum masing-masing sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan atas hasil tuaian, namun tarikh sambutan berbeza mengikut kawasan dan adat setempat.

“Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Ketua Menteri Sarawak pertama Tan Sri Stephen Kalong Ningkan bersetuju supaya perayaan ini diwartakan dan sambutan Hari Gawai pertama diraikan pada 1 Jun 1965,” katanya.

Philip berkata walaupun sambutan Hari Gawai sebenar bermula pada 1 Jun, persediaannya bermula lebih awal melalui mesyuarat khas bagi penubuhan jawatankuasa sambutan di rumah panjang untuk tujuan pembahagian tugasan.

“Biasanya pada 30 Mei, persiapan dimulakan dengan penyediaan makanan seperti menyembelih ayam, memasak lemang dan menyediakan pelbagai juadah tradisional.

“Pada pagi 31 Mei, penghuni rumah panjang mula mengatur tikar di ruai sebagai tanda bermulanya sambutan Gawai sebenar. Ada juga yang mengambil kesempatan menziarah kubur ahli keluarga,” katanya.

Katanya, pada malam 31 Mei, penghuni rumah panjang akan berkumpul di ruai untuk upacara sambutan Gawai dan ketika itu, gendang khas dikenali sebagai gendang rayah akan dimainkan.

“Terdapat juga acara ‘berayah’, iaitu wakil setiap bilik berjalan mengelilingi ruai sambil memakai pakaian tradisional serta membawa parang sebagai simbol adat.

“Menjelang tengah malam, Ketua Gawai akan menyampaikan ucapan dan tepat 12.00 tengah malam (1 Jun), semua penduduk rumah panjang akan minum ‘air pengayu’ sebagai simbol permulaan tahun baharu Gawai dan mereka akan berjabat tangan sebagai tanda memaafkan kesilapan,” katanya. – Bernama

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Aidiladha ajar erti pengorbanan, perpaduan Sarawak perlu dipertahan – Ahmad Ibrahim
Next: Michael Kong gesa MBKS segera selesaikan isu lurang tersumbat di Lorong BDC A5

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.