

SARATOK: Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan kerajaan Sarawak terus membawa perubahan ketara terhadap pembangunan kawasan luar bandar khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, seperti kampung dan rumah panjang lain di kawasan tersebut, pelaksanaan projek RTP telah diagihkan secara menyeluruh demi memastikan rakyat menikmati pembangunan yang lebih seimbang.
Menurut beliau, pelbagai projek RTP yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu berjaya mengubah landskap pembangunan di kawasan DUN Kalaka, terutama dari segi kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar.
Katanya, kejayaan pelaksanaan projek tersebut adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Majlis Daerah Saratok serta kontraktor yang terlibat.
“Syukur Alhamdulillah, melalui projek RTP ini banyak pembangunan berjaya dilaksanakan untuk manfaat rakyat di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan perkembangan projek RTP di kawasan itu, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama Ketua Kaum Kampung Hulu Perpat, Peni Seli telah meninjau perkembangan projek bina baharu Pusat Sumber Kampung Hulu Perpat.
Projek yang dilaksanakan di bawah seliaan JKR Betong itu kini berada di fasa akhir pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Menurut Mohamad Duri, pembinaan pusat sumber tersebut bakal menjadi satu lagi kemudahan penting kepada penduduk Kampung Hulu Perpat khususnya dalam memperkukuh akses kepada bahan bacaan, pembelajaran dan aktiviti komuniti.
Selain itu, beberapa lagi projek RTP di seluruh kawasan DUN Kalaka kini sedang giat dilaksanakan dengan ada antaranya baharu dimulakan manakala sebahagian lagi telah siap sepenuhnya untuk dimanfaatkan penduduk setempat.
Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan GPS kerana terus komited melaksanakan RTP, sambil menegaskan masyarakat luar bandar masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas yang berterusan demi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk.
Oleh Adi Safarman