Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pengukuran tanah NCR bukti kerajaan Sarawak iktiraf, pertahan hak rakyat
  • Tengah
  • WILAYAH

Pengukuran tanah NCR bukti kerajaan Sarawak iktiraf, pertahan hak rakyat

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Gerald Rentap Jabu pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Rumah Aji Jeffrit Bungkang yang disempurnakan oleh Datuk Len Talif Salleh, semalam. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Betong

BETONG: Pengiktirafan dan pemberian surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus menjadi agenda penting kerajaan Sarawak dalam memastikan hak rakyat terhadap tanah warisan mereka terus terpelihara.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kerajaan telah memperkenalkan Program Pengukuran Tanah NCR bagi memastikan pemilik tanah mempunyai dokumen pemilikan sah, sempadan tanah yang jelas serta mengelakkan pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, program tersebut dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), sebelum diteruskan dengan pengukuran lot individu serta pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

DATUK Gerald Rentap Jabu pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Rumah Aji Jeffrit Bungkang yang disempurnakan oleh Datuk Len Talif Salleh, semalam. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Betong

Katanya, pelaksanaan pengukuran peringkat pertama membolehkan kawasan tanah NCR yang luas disukat dengan lebih cepat bagi menentukan persempadanan tanah yang jelas sebelum didaftarkan dalam daftar tanah dan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera.

“Selepas pewartaan di bawah Seksyen 6 dilaksanakan, langkah seterusnya ialah pengukuran lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang kini sedang giat dijalankan di seluruh Bahagian Betong melibatkan semua kaum bumiputera yang mempunyai hak ke atas tanah NCR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh di Rumah Aji Jeffrit Bungkang dekat sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut menggesa masyarakat agar memberi kerjasama penuh kepada kerajaan bagi memastikan program pengukuran tanah NCR dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan generasi masa depan.

Beliau berkata sehingga 30 April 2026, sebanyak 54,665 hektar tanah telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak di kawasan DUN Layar, termasuk 10,164 hektar di kawasan Padeh.

Bagi pengukuran Fasa 2 Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak pula, sebanyak 578 lot individu melibatkan keluasan 1,976.44 hektar berjaya diukur di seluruh DUN Layar, termasuk 361 lot individu melibatkan keluasan 682 hektar di kawasan Padeh.

Pada majlis tersebut, sebanyak 48 surat hak milik tanah Seksyen 18 diserahkan kepada 44 penerima daripada komuniti Iban melibatkan keluasan keseluruhan 236.69 hektar tanah di kawasan Padeh yang terdiri daripada penduduk Rumah Panjang Sungai Sibau, Bungkang dan Gawis.

Rentap turut menegaskan bahawa penyukatan tanah NCR dilaksanakan secara percuma tanpa sebarang caj, selain dikecualikan premium dan cukai tanah dengan tempoh pegangan hak milik secara kekal demi manfaat rakyat.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjual tanah mereka demi keuntungan jangka pendek, sebaliknya mengusahakan tanah tersebut melalui aktiviti pertanian, penternakan dan perladangan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup berkata kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf serta mempertahankan hak rakyat terhadap tanah NCR yang sah berdasarkan peruntukan undang-undang tanah sedia ada.

Menurut beliau, sehingga 30 April 2026, sebanyak 86,056.86 hektar tanah telah diwartakan di seluruh Bahagian Betong di bawah Program Inisiatif Baharu NCR Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Manakala sebanyak 6,528 lot individu melibatkan keluasan 8,525.5 hektar berjaya diukur di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: RISDA Sarawak santuni komuniti melalui Program Ibadah Korban di Kampung Muara Tuang
Next: RTP ubah landskap pembangunan luar bandar di DUN Kalaka

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.