
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, menzahirkan penghargaan kepada warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak atas komitmen berterusan mereka dalam menjayakan agenda pembangunan infrastruktur negeri.
Menurut beliau, perkembangan positif JKR Sarawak yang sentiasa menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa membuktikan keupayaan jabatan itu dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.
”Kejayaan menyiapkan Jambatan Batang Lupar 1 yang merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia membuktikan keupayaan serta komitmen tinggi warga JKR Sarawak dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur bertaraf dunia demi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mantar Gawai Dayak JKR Sarawak 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan muhibah di salah sebuah hotel terkemuka dekat sini, semalam.
Tambah beliau, kejayaan tersebut turut membanggakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang sentiasa menekankan pembangunan infrastruktur berkualiti demi kemajuan Sarawak.


”Semangat kerja berpasukan dan dedikasi warga JKR Sarawak amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri,” ujar beliau.
Pada masa sama, majlis menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga JKR Sarawak sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini, selain menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan, antaranya persembahan daripada warga JKR Sarawak, Yayasan Kebudayaan Dayak, Akademi Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) dan Little Bornean Birdie.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Turut memeriahkan majlis ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr. Cassidy Morris dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Chiew Chee Yaw.
Oleh Adi Safarman