Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Warisan Teochew terus mekar, janji tunjang keharmonian Sarawak
  • TEMPATAN

Warisan Teochew terus mekar, janji tunjang keharmonian Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENYAMPAIAN cenderamata kepada Premier Sarawak yang diterima bagi pihak beliau oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian (lapan,kiri). Turut kelihatan artis cenderamata,Alister Sim (tujuh kiri), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Sim Kiang Chiok (enam,kiri) dan Pengerusi Teo Khiaw, Sim Siang Boon (enam kanan).

KUCHING: Komuniti Teochew di Sarawak terus diiktiraf sebagai antara penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi, sosial dan budaya negeri ini sejak lebih satu abad lalu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat perpaduan, ketekunan dan kecintaan terhadap warisan budaya yang dipamerkan masyarakat Teochew menjadi antara kekuatan utama dalam membentuk keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Makan Malam Gala Peringatan Ulang Tahun Ke-105 Kelab Teo Khiaw bertemakan Enduring Teochew Heritage di Kompleks UNIFOR, di sini, malam Sabtu.

Penubuhan Kelab Teo Khiaw pada awal abad ke-20 lahir daripada visi sekumpulan perintis masyarakat Teochew yang berusaha menyatukan komuniti serta membina kehidupan baharu di bumi Sarawak.

Katanya, tokoh masyarakat Teochew terdahulu seperti mendiang Lau Yew Shan bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi, malah memainkan peranan besar dalam bidang pendidikan, kebajikan, sosial dan budaya sehingga menjadi asas penting kepada pembangunan awal Kuching.

“Mereka tidak pernah melupakan akar budaya sendiri dan terus memelihara tradisi, adat serta nilai warisan untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Semangat inilah yang membolehkan Kelab Teo Khiaw kekal utuh selama lebih satu abad dan terus berkembang sebagai organisasi dinamik sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata, semangat itu juga seiring dengan pendekatan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terus mengekalkan dasar inklusif tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang masyarakat.

SESI memotong kek bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (sembilan,kanan), Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Sim Kiang Chiok (enam,kiri) serta Pengerusi Kelab Teo Khiaw, Mr Sim Siang Boon (lapan,kanan) bersama para tetamu kehormat yang lain.

Menurutnya, kekuatan Sarawak terletak pada kepelbagaian kaum yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pembangunan jangka panjang termasuk penubuhan dana kekayaan berdaulat bagi memastikan sumber negeri dapat dimanfaatkan secara mampan demi generasi akan datang.

Pada masa sama, Sarawak turut bergerak ke arah ekonomi baharu menerusi pembangunan sektor bernilai tinggi seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, teknologi digital, pembuatan dan ekonomi hijau.

“Kita mahu Sarawak muncul sebagai kuasa ekonomi kompetitif di rantau ini.

“Justeru, kerajaan terus melaksanakan pembangunan infrastruktur berskala besar termasuk jalan raya, lebuh raya dan jambatan bagi meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, projek seperti Jalan Utama Kedua, jalan pesisir serta pembangunan sistem Autonomous Rapid Transit (ART) di Kuching akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Tambahnya lagi, perancangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu dan pelabuhan laut dalam turut bakal mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab perdagangan, pelaburan dan pelancongan serantau.

Dalam aspek pendidikan pula, beliau menegaskan kerajaan Sarawak terus komited melahirkan modal insan berkualiti termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta menyediakan pendidikan tinggi percuma di institusi milik kerajaan negeri bermula tahun ini.

PERSEMBAHAN opera dan orkestra Teochew.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap seni persembahan Teochew khususnya opera Teochew yang disifatkan mempunyai nilai budaya tinggi dan dekat dengan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya, usaha Kelab Teo Khiaw memelihara seni tradisional dan mencungkil bakat generasi muda menerusi aktiviti kebudayaan serta orkestra wajar dipuji.

“Dalam era digital hari ini, generasi muda perlu terus dekat dengan warisan budaya sendiri kerana seni tradisional mampu membentuk kreativiti, disiplin serta jati diri yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau turut menggesa seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu, saling menghormati dan berganding bahu demi membina masa depan negeri yang lebih gemilang.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Produk tempatan Lawas peroleh pensijilan halal bagi beras Adan dan kopi Arabica

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.