Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila mendengar bunyi berdentam-dentum dari dapur setiap kali suri rumah beraksi untuk memasak. Bukan bergaduh atau melepas perasaan, cuma bunyi lesung batu untuk menumbuk ramuan masakan.
Menarik sekali kerana walaupun zaman sudah berubah namun peralatan dapur tradisional ini tetap menjadi pilihan suri rumah. Malah dikatakan, sebahagian makanan tidak sama enaknya tanpa menggunakan lesung batu, misalnya sambal belacan.
Suri rumah moden pula akan memilih mesin pengisar pelbagai saiz dan jenis yang terdapat di pasaran sekarang ini.
Namun tidak semua suri rumah sukakan mesin pengisar atau lesung batu kerana ada yang lebih selesa menggunakan lesung gesek untuk melumat atau melecekkan ramuan Bagi Sharifah Zubaidah Wan Akil, 57, dari Kampung Stoh, Lundu, beliau memanfaatkan bahan di sekitarnya untuk menyediakan peralatan memasak daripada kayu untuk suri rumah.
Dengan bantuan suaminya Wan Sulaiman Wan Dahlan, mereka menghasilkan gesek dan lesung kayu untuk pelbagai kegunaan suri rumah.
Sharifah Zubaidah pula bertanggungjawab untuk memasarkannya.
“Gesek dan lesung kami diperbuat dari kayu nangka dan kayu Penaga. Dari awal proses hingga siap, suami saya yang melakukannya. Beliau yang pergi mencari kayu, memproses dan menghasilkan gesek dan lesung kayu ini,” kata beliau.
Menurut Sharifah Zubaidah, beliau dan suami memfokus kepada peralatan dapur dari kayu kerana kebanyakan gesek dan lesung yang ada di pasaran diperbuat daripada batu.
“Ada suri rumah yang mencari lesung atau gesek kayu. Maka kami penuhi permintaan mereka. Gesek dan lesung kayu ini lebih senang di bawa ke mana-mana. Tambahan pula, lesung kayu yang kami hasilkan ini adalah bersaiz besar,” tambah Sharifah Zubaidah.
Selain menjual lesung dan gesek kayu, beliau juga menjual papan pemotong yang juga menjadi alat penting di dapur.
Kata Sharifah Zubaidah, peralatan dapur mereka ini ini dijual dengan harga antara RM10 hingga RM150.
Bagi yang ingin mendapatkan peralatan ini daripada Sharifah Zubaidah, mereka boleh ditemui pada setiap hari Sabtu dan Ahad di Medan Niaga Satok.
Oleh HAINI DARANI