
MIRI: Setiausaha Agung SUPP merangkap Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengecam keras laman Facebook ‘ASM Network’ kerana menyebarkan maklumat palsu dengan mengaitkan projek Jambatan Batang Lupar sebagai projek ‘Kerajaan Madani’, sekali gus mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, laman Facebook yang mempunyai sekitar 46,000 pengikut itu mempunyai pengaruh besar dan sepatutnya bertindak secara bertanggungjawab dengan menyiarkan maklumat yang telah disahkan, bukannya menyebarkan berita palsu secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, projek Jambatan Batang Lupar sebenarnya diluluskan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018, projek itu dibatalkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.
“Walaupun projek itu dibatalkan, kerajaan Sarawak memutuskan untuk meneruskan pembiayaan dan pelaksanaan projek tersebut demi memastikan rakyat Sarawak, khususnya penduduk di kawasan pesisir, mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ting berkata, Jambatan Batang Lupar yang mempunyai panjang sekitar 4.8 kilometer dengan kos sekitar RM848 juta merupakan antara jambatan sungai terpanjang di negara ini dan baru-baru ini dibuka untuk kegunaan orang ramai.
Katanya, jambatan itu merupakan sebahagian penting daripada projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak dan Jalan Utama Kedua.
“Projek Jambatan Batang Lupar adalah inisiatif infrastruktur penting yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak dan bukannya projek ‘Kerajaan Madani’ oleh Kerajaan Persekutuan. Tiada pihak seharusnya memutarbelitkan fakta demi propaganda politik atau cuba menuntut kredit atas pencapaian pembangunan kerajaan Sarawak,” tegasnya.
Beliau menambah, kepimpinan Sarawak termasuk Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur sejak sekian lama termasuk jalan raya, jambatan, pelabuhan dan kemudahan awam bagi meningkatkan hubungan rangkaian serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Ting berkata, organisasi media dan platform media sosial perlu bertindak secara bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyiarkannya, dan bukannya menyebarkan kandungan tidak tepat demi kepentingan politik atau meraih trafik dalam talian.
“Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar. Sebarang cubaan memutarbelit fakta, mengelirukan rakyat atau memperkecilkan sumbangan kerajaan Sarawak harus dikecam,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak berkongsi maklumat dalam talian yang belum disahkan bagi membendung penularan berita palsu.
Oleh Liong Chai Ling
Setiausaha Agung SUPP merangkap Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (gambar).