
KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) terus meningkatkan sokongan membantu usahawan mikro mendapatkan modal kerja dengan kemudahan pembiayaan maksimum sehingga RM100,000 menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME SRF).
Menerusi kenyataan hari ini, BSN memaklumkan inisiatif itu menawarkan kadar keuntungan serendah 3.75 peratus setahun dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun.
Kemudahan itu bertujuan membantu usahawan terbabit mengekalkan kelangsungan selain dapat mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“BSN maklum bahawa usahawan mikro kini berdepan dengan kekangan aliran tunai susulan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Justeru, kami berharap MSME SRF ini dapat dapat memberi kelegaan kepada usahawan mikro menerusi akses perkhidmatan kewangan yang sesuai bagi membantu menstabilkan perniagaan mereka dan terus berdaya tahan,” kata Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Selain kemudahan MSME SRF itu, BSN juga akan terus menawarkan produk pembiayaan sedia ada pada kadar keuntungan kompetitif bagi membantu usahawan mikro terus mengembangkan operasi perniagaan.
Produk pembiayaan sedia ada termasuk pembiayaan BSN Micro-i MADANI bagi kategori penjaja, belia, wanita, gig dan MADANI Sinar merangkumi pembiayaan mikro khusus untuk membantu orang kurang upaya (OKU) serta golongan lain mengembangkan perniagaan mereka.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat di cawangan BSN berdekatan atau menerusi www.bsn.com.my. – Bernama