
SIBU: Program Townhall Hari Sarawak yang dijadual berlangsung Julai depan bakal menjadi platform utama golongan belia menyuarakan pandangan serta mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai hala tuju pembangunan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program yang akan diadakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) itu menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada peserta program itu terdiri daripada golongan muda.
“Program Townhall ini akan menjadi platform yang jarang diperoleh belia untuk berinteraksi secara terus dengan Premier yang akan menjawab pelbagai persoalan serta berkongsi pandangan mengenai masa depan Sarawak,” katanya ketika melakukan lawatan tapak ke lokasi program tersebut.
Beliau berharap golongan muda di Sibu mengambil peluang menghadiri sesi itu bagi membangkitkan isu penting melibatkan mereka termasuk dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.
“Golongan muda perlu mengambil peluang ini untuk menyuarakan pandangan dan bertanyakan isu yang dekat dengan kehidupan mereka sama ada berkaitan pendidikan, pekerjaan atau keusahawanan,” katanya.
Abdullah berkata, program townhall berkenaan merupakan antara pengisian utama sambutan Hari Sarawak yang dijadual berlangsung di Sibu dari 20 hingga 22 Julai depan.
Menurutnya, pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan juga amat signifikan kerana zon tengah mempunyai kaitan rapat dengan sejarah perjuangan awal Sarawak termasuk legasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, zon tengah khususnya Sibu dan daerah berhampiran kini muncul antara kawasan pesat membangun menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur termasuk jalan raya dan jambatan.
“Zon tengah khususnya Sibu dan kawasan sekitarnya merupakan antara wilayah terbesar dan pesat membangun di Sarawak dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sambutan Hari Sarawak tahun ini lebih bermakna kerana 2026 menandakan tahun kesembilan Premier Sarawak menerajui pentadbiran negeri.
Selain sesi townhall, sambutan selama tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran, jualan, konsert dan acara kemuncak di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Turut hadir Ahli Majlis Perbandaran Sibu Mohammed Abdullah Izkandar Dato Roseley dan Pendaftar UTS Jimmy De Rozario @ Abdul Rahman.
Oleh Tarani Lanting