
TOKYO, Japan: Toshifumi Suzuki, bekas pengerusi Seven & i Holdings yang dikreditkan atas kejayaan global kedai serbaneka 7-Eleven, meninggal dunia pada usia 93 tahun, menurut syarikat itu hari ini.
Suzuki, yang dikenali sebagai “bapa kedai serbaneka” di Jepun, meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 18 Mei, menurut kenyataan syarikat.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa dan kebaikan yang diberikan sepanjang hayat beliau serta dengan penuh hormat memaklumkan pemergiannya,” menurut kenyataan itu.
Suzuki terkenal kerana membuka cawangan pertama 7-Eleven di Jepun pada 1974 dan membangunkan perniagaan itu menjadi rangkaian kedai serbaneka terbesar dunia, termasuk menjadikan ibu pejabat syarikat di Amerika Syarikat yang ketika itu berdepan masalah sebagai subsidiari syarikat Jepun sebelum memulihkannya semula.
Beliau memberitahu akhbar Asahi dalam satu wawancara bahawa idea menjual bebola nasi atau onigiri di kedai 7-Eleven dicetuskan olehnya sendiri. Menurut Asahi, lebih dua bilion makanan ringan itu kini dijual setiap tahun di cawangan mereka di seluruh Jepun.
Selepas menyertai pengendali rangkaian pasar raya utama Ito-Yokado pada 1963, Suzuki membawa konsep kedai serbaneka dari Amerika Syarikat ke Jepun menerusi 7-Eleven.
Beliau turut memperkenalkan operasi 24 jam selain pelbagai perkhidmatan lain termasuk mesin ATM dan pembayaran bil utiliti.
Pada 1978, beliau dilantik sebagai presiden Seven-Eleven Japan, dan pada 2005 apabila syarikat pegangan Seven & i Holdings ditubuhkan bagi menyatukan perniagaan pasar raya serta restoran keluarga kumpulan itu, beliau mengambil alih jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO).
Suzuki meninggalkan syarikat itu pada 2016 selepas tewas dalam perebutan kuasa di bilik lembaga pengarah yang menurut pengkritik bertujuan meletakkan anaknya sebagai pengganti.
Cadangan rombakan pengurusan yang dikemukakannya mendapat tentangan hebat daripada pelabur bilionair Amerika Syarikat, Daniel Loeb, yang menuduh syarikat itu semakin cenderung kepada amalan nepotisme. – AFP