SIBU: Penduduk Sibu dinasihatkan supaya membuang tanggapan bahawa kes Covid-19 yang dilaporkan di sini hanya terbatas pada kawasan rumah panjang sahaja.
Menurut Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian (JPBPB) Sibu, Dr. Annuar Rapa’ee (gambar), tanggapan sedemikian hanya akan mendorong orang ramai untuk mengambil mudah serta tidak menghargai usaha yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, statistik menunjukkan lebih 70 peratus dari jumlah kes positif Covid-19 yang dilaporkan di sini sejak beberapa hari lalu adalah dari Bandar Sibu dan bukannya dari rumah panjang yang hanya mencatatkan sekitar 27 peratus kes positif.
“Sebenarnya, dari 113 rumah panjang yang terjejas (di Bahagian Sibu), hanya 90 (rumah panjang yang masih dikenakan sekatan pergerakan yang mana kebanyakan penduduk ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua atau ketiga.
“Bagi saya, virus ini tidak lagi terhad di kawasan rumah panjang. Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengikis tanggapan bahawa kes hanya dilaporkan di kawasan rumah panjang,” katanya pada sesi ‘Facebook Live’ bersama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, semalam.
Turut hadir dalam sesi terbabit ialah Ketua Unit Penyakit Berjangkit Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Chua Hock Hin.
Selain itu, Dr. Annuar menegaskan bahawa tidak ada manfaat untuk memikirkan apa yang dapat atau harus dilakukan dengan merujuk kepada tuntutan pihak tertentu tentang beberapa penduduk dari rumah panjang yang keluar dari sekatan pergerakan melalui ‘jalan tikus’.
“Memang benar kita harus menghentikannya lebih awal dan usaha untuk membendung penyebaran Covid-19 mungkin berjaya.
“Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah sekarang kerana yang penting sekarang adalah semua pihak bekerjasama dalam memerangi wabak Covid-19 ini,” ujarnya.