
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mendapatkan laporan segera daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berhubung dakwaan kenaikan harga sayur di Kelantan hingga RM2 sekilogram.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini tidak berlaku kenaikan mendadak harga sayur di kebanyakan kawasan termasuk di Lembah Klang, kecuali melibatkan beberapa jenis sayuran tertentu.
“Di Kelantan itu (harga) kita akan pantau. Saya akan minta laporan daripada pihak FAMA dengan segera pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti atau Gardentopia, di sini hari ini.
Mohamad mengulas laporan mengenai peningkatan harga sayur di beberapa pasar di Kelantan yang mengalami kenaikan hingga RM2 sekilogram berikutan cuaca panas berpanjangan dan kenaikan kos diesel.
Mengulas isu inflasi makanan walaupun kekal stabil, Mohamad berkata kenaikan harga baja yang menjadi antara faktor peningkatan kos bekalan mentah merupakan cabaran global sedang dihadapi banyak negara.
Beliau berkata isu itu turut dibincangkan di peringkat antarabangsa termasuk oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) berikutan konflik di beberapa kawasan pengeluar bahan mentah seperti fosfat.
“Itu ramalan di seluruh dunia bahawa soal baja ini akan menjadi permasalahan sebab kawasan bertelingkah itu terlibat dengan soal fosfat dan sebagainya. Kerajaan akan buat intervensi dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan kita,” katanya.
Sementara itu, Mohamad memberi jaminan bekalan baja di Malaysia ketika ini masih mencukupi meskipun harga input pertanian dijangka terus dipantau dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
“Bekalan cukup…cuma kita kena lihat dari sudut harga dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Soal bekalan di Malaysia ini, Alhamdulillah, pada kami di pihak kementerian nampak keadaannya cukup. Cuma harga itu kita pantau dari semasa ke semasa,” katanya.- BERNAMA