
PETRA JAYA: Seramai 320 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima bantuan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi Program Sejahtera MADANI: Kebajikan – Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha 1447H, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, setiap penerima menerima bantuan berupa dua kilogram daging lembu segar dan telur gred A bagi membantu persiapan menyambut Aidiladha.
“Bantuan ini walaupun dilihat sederhana namun membawa makna besar kepada penerima dan ahli keluarga masing-masing, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Dalam suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu, terdapat keluarga yang perlu membuat pelbagai penyesuaian bagi memastikan keperluan asas dapat dipenuhi,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di Masjid Darul Hana, hari ini.
Tambah beliau, Aidiladha bukan sekadar perayaan keagamaan, malah mengajar nilai pengorbanan, keikhlasan, kasih sayang dan keprihatinan sesama insan.
“Kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada kuantiti bantuan yang disalurkan, malah turut memastikan aspek kualiti supaya manfaatnya benar-benar dapat dinikmati rakyat.
“Program seperti ini merupakan platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat setempat.

“Semangat kerjasama yang ditunjukkan membuktikan bahawa lebih ramai rakyat dapat dibantu apabila semua pihak berganding bahu,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO Sarawak), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Muamalat Malaysia Berhad, Jawatankuasa Masjid Darul Hana serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Oleh Masrin Affirah