Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Ibadah korban dalam talian semakin jadi pilihan umat Islam
  • NASIONAL

Ibadah korban dalam talian semakin jadi pilihan umat Islam

Utusan Sarawak 8 hours ago
PESERTA ibadah korban dalam talian menerima dokumentasi lengkap termasuk gambar, video dan sijil sebagai bukti pelaksanaan. Foto Albusyro Enterprise

KUALA LUMPUR: Suasana Aidiladha hari ini tidak lagi hanya tertumpu kepada menghadiri solat sunat di masjid pada awal pagi, menyaksikan ibadah penyembelihan atau mengagihkan sendiri daging korban kepada jiran dan golongan memerlukan.

Seiring perubahan gaya hidup serta perkembangan teknologi, semakin ramai umat Islam kini memilih untuk melaksanakan ibadah korban secara dalam talian.

Kaedah itu bukan sahaja dipilih atas faktor kemudahan, malah bertujuan memastikan amanah serta manfaat ibadah korban dapat disalurkan dengan lebih meluas kepada komuniti yang benar-benar memerlukan, termasuk di luar negara yang berdepan kemiskinan, kebuluran dan konflik berpanjangan.

Pengurus Pembangunan Albusyro Enterprise, Muhammad Abdussalam Mohd Nidzomuddin berkata pelaksanaan korban yang dikendalikan pihaknya di Yaman, Uganda dan Somalia memberi tumpuan kepada kawasan berkeperluan dengan melibatkan haiwan ternakan seperti lembu, unta dan kambing.

Beliau berkata di negara berkenaan masih terdapat penduduk yang hidup dalam keadaan serba daif, malah ada yang hanya berpeluang menikmati daging ketika musim korban.

“Fokus kita kepada komuniti seperti ini supaya manfaat korban itu dapat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Korban ini sebenarnya tanda syukur atas segala nikmat yang Allah S.W.T. beri sepanjang tahun, dan pada masa sama mengajar kita untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

KAEDAH korban secara digital memudahkan peserta menyalurkan sumbangan kepada komuniti memerlukan di dalam dan luar negara. Foto Albusyro Enterprise

Bagi memastikan peserta dapat mengikuti perjalanan ibadah yang dilaksanakan, beliau berkata pelbagai bentuk dokumentasi turut disediakan bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai proses korban berkenaan.

Menurutnya gambar sebelum dan selepas penyembelihan, video proses korban serta sijil penyertaan akan diberikan kepada setiap peserta sebagai bukti pelaksanaan ibadah tersebut.

“Kita tunjukkan keseluruhan proses daripada pemilihan haiwan, penyembelihan, melapah sehingga agihan kepada penerima. Peserta boleh melihat sendiri bagaimana proses itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta ibadah korban dalam talian Siti Rohani Mohd Yasin dari Rawang, Selangor berkata pengalaman menyertai kaedah tersebut memberinya perspektif berbeza terhadap cara ibadah itu dilaksanakan pada masa kini.

Menurutnya perkongsian resit, gambar serta maklumat berkaitan proses korban memberikan gambaran lebih jelas mengenai pelaksanaan ibadah tersebut.

“Selepas pembayaran dibuat, mereka turut berkongsi gambar haiwan sebelum dan selepas penyembelihan serta maklumat berkaitan proses korban,” katanya.

Pengamal perubatan itu, yang pernah menyertai ibadah korban secara konvensional sebelum ini, berkata pengalaman menguruskan sendiri pembahagian daging membuatkannya melihat platform dalam talian sebagai satu lagi pilihan untuk menunaikan ibadah tersebut.

“Setiap kaedah ada pengalaman berbeza. Bagi saya, korban dalam talian ini boleh menjadi pilihan terutama bagi individu yang sibuk tetapi masih mahu menunaikan ibadah korban,” katanya.

Sementara itu, pemuzik Noor Azwan Adnan dari Cheras, di sini, yang belum pernah menunaikan ibadah korban secara dalam talian, melihat perkembangan kaedah berkenaan sebagai pendekatan yang selari dengan perubahan semasa.

Beliau berkata ibadah korban bukan sekadar proses penyembelihan haiwan tetapi turut membawa makna lebih besar berkaitan keikhlasan, pengorbanan diri serta ketaatan kepada Allah S.W.T.

“Dalam talian atau fizikal, yang penting niat dan amanah terpelihara. Dalam era teknologi dan kehidupan yang semakin fleksibel, kaedah digital boleh menjadi medium memudahkan ibadah, namun nilai korban tetap terletak pada keikhlasan hati serta manfaat yang sampai kepada golongan memerlukan,” katanya.

Menurutnya fenomena ibadah korban dalam talian turut mewujudkan pendekatan baharu yang positif kerana membantu merealisasikan ibadah tersebut tanpa mengubah matlamat asalnya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Aidiladha: Bekalan ternakan korban mencukupi
Next: JPJ setuju kembalikan perkhidmatan THM secara dalam talian serta-merta – Loke

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.