BINTULU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan Covid-19 berskala besar di Pasar Tamu Bintulu semalam berikutan terdapat kes positif di kawasan berkenaan.
Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati ramai orang beratur menunggu giliran untuk ujian calitan sekali gus menunjukkan kerjasama daripada para penjaja pasar tersebut.
Semalam pastinya merupakan detik bersejarah buat warga Bintulu kerana kawasan pasar tamu itu kebiasaannya dipenuhi dengan kenderaan dan penduduk pada hujung minggu menjadi lengang apabila telah ditutup mulai malam Sabtu.
Difahamkan, kerana terdapat kes disahkan di kawasan tersebut, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu terpaksa mengarahkan pasar tamu itu untuk menghentikan operasi bagi membendung penularan wabak Covid-19 dengan segera.
Selain itu, Pasar Malam Bintulu yang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan kes di pasar tamu juga telah ditutup buat sementara waktu, mulai semalam (7 Februari) sehingga makluman selanjutnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing dalam satu kenyataan semalam sekali lagi mengingatkan, bagi sesiapa yang tidak sihat atau mengalami gejala atau simptom, perlu segera dapatkan pemeriksaan dan ujian calitan Covid-19.
“Jangan bersembunyi atau berasa takut. Mendapatkan rawatan awal dan kuarantin merupakan pendekatan terbaik dalam memerangi wabak ini.
“Bagi penduduk rumah panjang yang bekerja di bandar, lebih baik diam di tempat yang sama buat sementara waktu.
Sekiranya anda berada di Bintulu, anda disarankan jangan pulang ke rumah panjang, begitu juga sebaliknya bagi mereka yang berada di rumah panjang,” ujarnya.
Oleh CAROLYNE UTIH