
KANOWIT: Penduduk di Batu Luking bakal menikmati kemudahan bekalan air lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI yang menerima peruntukan sebanyak RM500,000 daripada Kerajaan MADANI.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, projek tersebut memberi tumpuan kepada pembinaan tangki air selepas kerajaan mengenal pasti isu bekalan air sebagai keperluan utama penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada tiga rumah panjang serta sebuah sekolah di Batu Luking yang ketika ini masih belum mempunyai kemudahan paip air.
“Di sini kita melihat keperluan adalah tangki air. Jadi, kita sudah setuju untuk bina tangki air untuk menyediakan kemudahan kepada tiga rumah panjang dan satu sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Kampung Angkat MADANI Batu Luking di Daerah Kanowit, hari ini.
Menurut Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit, kapasiti tangki air tersebut masih belum dimuktamadkan kerana reka bentuk dan Senarai Kuantiti (BQ) projek masih dalam proses penyediaan.
Namun katanya, peruntukan RM500,000 yang disalurkan diyakini mencukupi untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Kalau dapat dibina dalam kapasiti besar, ia bukan sahaja dapat membekalkan air kepada rumah panjang tetapi juga rumah berhampiran,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Projek Kampung Angkat MADANI di Sungai Mapai, Nanga Balingiau sebelum ini menerima peruntukan lebih besar iaitu RM1 juta kerana melibatkan skop pembangunan berbeza termasuk pembinaan jalan rumah panjang, laluan ke sekolah dan aspek keselamatan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Zulkifli Hashim; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPNIN, Norzahiruddin Amin Husin; Setiausaha Bahagian Bahagian Kolaborasi Strategik, Zaimy Shaari; wakil Pegawai Daerah Kanowit, Muhammad Fitri serta Tuai Rumah Panjang Bibi Batu Luking, Puan Bibi Anak King.