
KUALA LUMPUR: Keselamatan jalan raya perlu dianggap sebagai tanggungjawab nasional berikutan peningkatan kemalangan ketika dalam perjalanan berkaitan pekerjaan yang membimbangkan serta kematian akibat kejadian itu, terutama dalam kalangan penunggang motosikal.
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata sebanyak 46,542 atau 50.9 peratus daripada 91,456 kes kemalangan dicatatkan pada 2025 melibatkan kemalangan semasa dalam perjalanan pergi atau balik dari tempat kerja, manakala penunggang motosikal menyumbang lebih daripada 65 peratus kemalangan yang menyebabkan kematian.
Beliau berkata di sebalik setiap kemalangan, terdapat tragedi yang membabitkan kehilangan nyawa, kecederaan kekal, trauma emosi dan keluarga yang hilang orang tersayang dan tempat bergantung.
“Oleh itu, keselamatan jalan raya mesti dianggap sebagai tanggungjawab nasional yang memerlukan komitmen semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, majikan, agensi penguatkuasaan, pengguna jalan raya, masyarakat sivil dan komuniti secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, Lee berkata kempen MyRider yang dilancarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam ialah inisiatif yang tepat pada masanya untuk menangani kebimbangan terhadap kemalangan jalan raya melibatkan pengguna, terutamanya penunggang motosikal.
Beliau berkata walaupun Perkeso memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan dan pampasan kepada mangsa dan ahli keluarga mereka, bantuan kewangan semata-mata tidak dapat menggantikan kesakitan dan penderitaan yang ditanggung akibat kemalangan yang boleh dicegah.
Lee berkata budaya pencegahan, kesedaran, tanggungjawab dan amalan menunggang dengan selamat dalam kalangan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, amat diperlukan untuk membendung peningkatan jumlah kemalangan.
“Menunggang secara melulu, memecut, memotong secara berbahaya, dan mengabaikan langkah-langkah keselamatan tidak boleh menjadi budaya yang dinormalisasikan,” katanya.
Beliau turut menggesa majikan supaya memainkan peranan lebih besar dengan menggalakkan amalan perjalanan yang lebih selamat, mempromosikan pendidikan keselamatan jalan raya, memberikan rehat mencukupi kepada pekerja dan memastikan petugas yang kerap ulang-alik tidak diberi tekanan yang boleh menyumbang kepada keletihan dan kemalangan.
Pada masa sama, Lee juga menggesa agar usaha penguatkuasaan, penambahbaikan infrastruktur dan kempen kesedaran awam tentang keselamatan jalan raya dipergiatkan di seluruh negara, dan pendidikan keselamatan jalan raya harus bermula sejak usia muda untuk memupuk tingkah laku yang bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya sebagai sebahagian daripada budaya negara. – Bernama