
LIMBANG: Limbang kini muncul sebagai destinasi utama pelancongan, sukan dan kebudayaan di wilayah utara Sarawak menerusi penganjuran pelbagai program dan acara tahunan yang mampu menarik kehadiran pengunjung tempatan serta luar negara.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, antara program yang mendapat perhatian ialah Festival Muzik Wilayah Utara (NRMF) yang bukan sahaja memperkenalkan kebudayaan dan muzik etnik tempatan, malah berpotensi menjadi produk pelancongan utama di wilayah berkenaan.
Menurut beliau, NRMF edisi keenam itu menjadi platform penting menghimpunkan muzik, tarian dan bakat seni kreatif dari wilayah utara Sarawak khususnya Limbang.
“NRMF menjadi platform yang menghimpunkan bakat seni dan muzik dari wilayah utara Sarawak serta negara jiran.

“Penganjuran festival seumpama ini bukan sahaja memeriahkan industri seni dan budaya tempatan, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam NRMF Edisi Keenam di Lot 777 malam tadi.
Festival selama tiga hari itu berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dan turut menjana pendapatan kepada peniaga tempatan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai, Pengurus Radio Televisyen Malaysia Limbang, Idzham Hadi Sidik serta tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus