Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Hospital baharu Lawas perlukan OP sementara untuk beroperasi secara berperingkat
  • Utara
  • WILAYAH

Hospital baharu Lawas perlukan OP sementara untuk beroperasi secara berperingkat

Utusan Sarawak 5 hours ago
HARGAI PETUGAS…Henry Sum Agong memotong kek makan malam apresiasi sempena Hari Bidan dan Hari Jururawat 2026.

LAWAS: Hospital baharu Lawas yang telah siap secara fizikal masih memerlukan Permit Menduduki (OP) sebelum dapat beroperasi secara berperingkat bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk di daerah ini dan kawasan sekitarnya.

Ahli Parlimen Lawas, Henry Sum Agong, berkata OP sementara amat diperlukan bagi membolehkan sebahagian operasi perkhidmatan kesihatan dipindahkan ke bangunan baharu itu, sekali gus membolehkan kerja merobohkan bangunan hospital lama dilaksanakan.

“Kita bersyukur kerana Lawas kini mempunyai bangunan hospital baharu yang telah siap, namun belum dapat digunakan sepenuhnya kerana isu OP.

“Kita berharap hospital ini dapat mula beroperasi tahun ini juga. Keperluan terhadap hospital baharu ini amat penting. Oleh itu, kita memohon supaya OP sementara dapat dikeluarkan agar operasi secara berperingkat boleh dilaksanakan,” katanya.

PERSEMBAHAN MENARIK...jururawat mempersembahkan adegan khas mengenang Florence Nightangle sebagai pengasas profesion jururawat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Makan Malam Apresiasi sempena Hari Bidan dan Hari Jururawat 2026 Daerah Lawas di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut Henry, bangunan lama Hospital Lawas yang terletak bersebelahan hospital baharu masih digunakan untuk menempatkan wad bersalin serta beberapa wad lain yang masih diperlukan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan bangunan lama tidak dapat dirobohkan selagi proses pemindahan pesakit dan wad ke bangunan baharu belum dilaksanakan.

“OP sementara diperlukan bagi membolehkan urusan pemindahan pesakit dan wad dibuat secara berperingkat sebelum bangunan lama yang uzur dirobohkan,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran berjumlah RM10,000 kepada Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) Cawangan Lawas bagi menjalankan aktiviti persatuan.

ANTARA yang hadir pada majlis Makan Malam Apresiasi sempena Hari Bidan dan Hari Jururawat 2026 Daerah Lawas.

Hospital baharu Lawas merupakan projek Persekutuan yang mula dilaksanakan pada 2016 sebelum tertangguh akibat pandemik COVID-19 serta perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Projek itu disambung semula pada 2022 dan siap pada penghujung 2025, namun masih belum dapat digunakan sepenuhnya kerana OP hanya akan dikeluarkan selepas bangunan hospital lama dirobohkan.

Turut hadir Pengarah Hospital Lawas Douglas Chu Kin Soon, Pegawai Kesihatan Daerah Rudy Ngau Ajeng, Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak Omar Bahrein Unin, Pengerusi SMU Cawangan Lawas Cendan Ujan, Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lawas Sarida Bantangon serta kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: Nilai sejarah Kubu Brooke tarik potensi pelancongan Julau
Next: NRMF berpotensi dijadikan acara pelancongan utara Sarawak, perkukuh hubungan serantau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.