
JULAU: Nilai sejarah Kubu Brooke di Nanga Meluan mampu menjadi pemangkin ekonomi komuniti setempat sekiranya dimanfaatkan dengan baik melalui pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi komuniti.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kawasan bersejarah tersebut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Kubu Brooke di Nanga Meluan mempunyai nilai sejarah yang tidak ternilai dan sejarah seperti ini tidak boleh dibeli.

“Ini peluang terbaik untuk membangunkan ekonomi penduduk setempat dan memperkenalkan Julau ke peringkat lebih luas,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Meluan, baru-baru ini.
Katanya, penduduk Nanga Meluan perlu merebut peluang tersebut dengan membangunkan sektor pelancongan komuniti termasuk membuka kedai makanan tradisional, gerai kraftangan dan pelbagai perniagaan kecil yang mampu mempromosikan budaya masyarakat tempatan.
“Kawasan ini juga sesuai dibangunkan sebagai lokasi ekopelancongan menerusi pembinaan rumah pelancongan, hotel kecil atau pusat peranginan yang dapat memberi pengalaman unik kepada pelawat menikmati keindahan alam semula jadi dan warisan sejarah.
“Saya berharap agar tapak bersejarah ini dijadikan pusat mempamerkan permainan tradisional dan warisan budaya masyarakat tempatan,” katanya.

Tambahnya, ia bukan sahaja dapat memelihara warisan sejarah dan budaya, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk menerusi sektor pelancongan komuniti.
Pada majlis sama, Larry turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada SK Nanga Meluan untuk kegunaan aktiviti tahunan.
Oleh Earl Anek