MUKAH: Air banjir tidak menghalang seorang penaman sayur untuk menuai hasil kebunnya di Kampung Tellian Ulu di sini kerana beliau menanam sayur di dalam batas bermeja.
Menurut pekebun pertengahan usia, Manuchihr Smith, beliau memang sudah menduga bahawa kawasan kebunnya akan dibanjiri air pada bila-bila masa kerana lokasi mereka adalah tanah rendah.
Justeru katanya, kaedah tanaman dalam batas kayu atau bermeja dengan bahan organik adalah resolusi kepada keadaan tersebut.
“Saya tahu kebun saya yang berada di kawasan rumah adalah kawasan tanah yang rendah. Jadi apabila saya didedahkan dengan kaedah ini saya tidak menoleh ke belakang dan terus mencubanya. Justeru, saya ingin mengajak para penduduk tempatan untuk menggunakan kaedah ini,” katanya lagi.
Setakat ini keadah tersebut mulai mendapat tempat dalam kalangan penduduk tempatan dengan kebanyakan penanaman dilakukan di pekarangan rumah.
Menurut Manuchihr yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Mukah (PPK Mukah), ia bukan hanya boleh mengelakkan tanaman daripada banjir, bahkan juga mudah di segi penjagaannya.
Justeru beliau percaya lebih ramai penduduk tempatan yang akan menggunakan keadah tersebut termasuk bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan di sini
Adalah difahamkan ketinggian batas kayu terserah kepada penanamnya dan begitu juga dengan saiznya.
Oleh HENRY B SIYU