Screenshot
KALI terakhir saya membuat ulasan mengenai fenomena El Niño 2026/27 adalah dua bulan lalu (https://utusansarawak.com.my/el-nino-berintensi-kuat-diramal-akan-kembali-pada-pertengahan-2026/), apabila ramalan model-model iklim ketika itu menunjukkan bahawa fenomena El Niño dijangka bermula sekitar Jun 2026 dengan kebarangkalian sekitar 60 peratus dan berterusan sehingga penghujung tahun serta awal 2027 dengan kebarangkalian sekitar 80 peratus.
Kini, kita sudah berada di ambang bermulanya fenomena El Niño 2026/27, dan artikel ini bertujuan memberikan kemas kini mengenai status terkini serta berkongsi gambaran keadaan cuaca dan iklim yang dijangka dialami di Malaysia dan rantau ini sepanjang episod El Niño tersebut.

Kemaskinian yang dikeluarkan oleh NOAA melalui Pusat Ramalan Iklim (Climate Prediction Center) pada 18 Mei 2026 menunjukkan bahawa fenomena ini hampir pasti akan berlaku.
Kebarangkalian kemunculan El Niño pada musim Monsun Barat Daya, iaitu bagi Jun, Julai dan Ogos, kini meningkat melebihi 80 peratus berbanding sekitar 60 peratus dalam ramalan terdahulu.
Bagi tempoh sehingga penghujung tahun pula, kebarangkaliannya hampir mencecah 100 peratus, yang bermaksud fenomena ini hampir pasti berlaku.
Dalam ramalan terkini tersebut, pusat ramalan ini turut meletakkan status sebagai “El Niño Watch” atau “Pemerhatian El Niño”.
Ramalan yang dikeluarkan oleh APCC di Busan, Korea Selatan pada 15 Mei 2026 pula meletakkan status “El Niño” bagi tempoh Jun hingga November 2026.
Sementara itu, pelbagai model di bawah European Centre for Medium-Range Weather Forecasts dan Copernicus Climate Change Service menunjukkan bahawa hampir 100 peratus model mereka meramalkan El Niño akan berlaku bermula Jun ini dan berterusan sehingga penghujung tahun serta awal tahun hadapan.
Cerapan terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat juga menunjukkan bahawa peningkatan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik telah pun bermula.
Maka, persoalan utama pada ketika ini bukan lagi sama ada El Niño akan berlaku atau tidak, tetapi sejauh mana kekuatannya pada kali ini.
Sejak penulisan artikel berkaitan El Niño dua bulan lalu, pelbagai rencana di media antarabangsa telah menggunakan istilah “super El Niño”. Namun, saya agak berhati-hati menggunakan istilah tersebut kerana tiada definisi saintifik yang khusus mengenainya.
Dalam penerbitan saintifik, istilah yang lebih lazim digunakan ialah El Niño “ekstrem”. Secara umumnya, sesuatu episod El Niño dikategorikan sebagai “ekstrem” apabila peningkatan suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik, yang dikenali sebagai Niño3.4, melebihi 2.0°C.
Sejak lebih lima dekad lalu, hanya beberapa episod El Niño yang tergolong dalam kategori ini, termasuk episod 1972/73, 1982/83, 1997/98 dan 2015/16. Antara episod tersebut, El Niño 1997/98 dan 2015/16 dianggap paling kuat dalam rekod moden.
Adakah El Niño kali ini sedang menuju ke arah kategori ekstrem? Menurut ramalan NOAA, kebarangkalian El Niño kali ini mencapai kategori ekstrem adalah sekitar 30 peratus.
Namun, ramalan oleh APCC di Busan pula meletakkan kebarangkalian tersebut melebihi 90 peratus. Model-model di bawah European Centre for Medium-Range Weather Forecasts dan Copernicus Climate Change Service pula menunjukkan lebih daripada 50 peratus model mereka meramalkan El Niño berkategori ekstrem.

Berdasarkan kepakaran dan pemerhatian saya terhadap perkembangan semasa, saya berpandangan bahawa El Niño kali ini berpotensi berkembang menjadi episod yang setanding dengan El Niño 1997/98 dan 2015/16, iaitu dalam kategori ekstrem.
Pandangan ini disokong oleh data terkini berkaitan penurunan lapisan termoklin di Lautan Pasifik yang kini menunjukkan corak hampir serupa dengan peringkat awal perkembangan El Niño 1997/98 dan 2015/16.
Saya ingin memberi peringatan mengenai potensi mala petaka yang sering dikaitkan dengan El Niño berkategori ekstrem. Kemarau berpanjangan, gelombang haba, serta peningkatan risiko kebakaran hutan di negara kita dan negara jiran berpotensi mencetuskan episod jerebu tempatan dan rentas sempadan.
Kita juga dijangka berdepan impak terhadap sumber air, penurunan hasil pertanian, serta kesan kepada kesihatan awam.
Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia? Adakah kita memberi perhatian yang sama terhadap ancaman El Niño ekstrem sebagaimana kita memberi perhatian kepada impak musim tengkujuh?
Jika kita dan pihak-pihak berwajib masih belum bersedia, saya ingin menyeru agar langkah-langkah adaptasi dan persediaan segera diambil bagi meminimumkan impak El Niño 2026/27 yang berpotensi menyamai kekuatan El Niño 1997/98 dan 2015/16.
Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 Panel Antara-Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).