
BINTULU: Kerajaan Sarawak terus memperkasa institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Bintulu selaras dengan pertambahan kawasan penempatan dan pertumbuhan komuniti di bahagian itu.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ketika ini, seramai 600 KMKK aktif berkhidmat di Bahagian Bintulu melibatkan 180 orang di Bintulu, 200 di Sebauh dan 220 di Tatau.
Menurutnya, kerajaan negeri terus mengambil langkah strategik bagi memastikan institusi KMKK kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi tuntutan semasa masyarakat.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuk menaikkan kadar gaji dan elaun bulanan KMKK sebanyak RM400 sebulan berkuat kuasa Januari 2026 sebagai pengiktirafan terhadap tanggungjawab besar yang dipikul golongan itu.
“Tugas KMKK hari ini jauh lebih kompleks berbanding dahulu termasuk mengurus kebajikan rakyat, membantu penyelarasan bantuan bencana, mengendalikan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan menjadi medium penyampaian maklumat rasmi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam bersama KMKK sempena program Sarawakku Sayang di Hotel Imperial di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, kerajaan turut menambah bilangan jawatan KMKK supaya setiap komuniti mempunyai wakil yang sah dan lebih efektif.
Katanya, pelantikan tiga Temenggung yang mewakili kaum Cina, Melayu dan Iban turut memperlihat komitmen kerajaan negeri dalam membentuk struktur kepimpinan masyarakat yang inklusif dan seimbang.
Beliau memberitahu, kerajaan mahu memastikan setiap kaum termasuk komuniti yang kecil jumlahnya tetap mempunyai akses kepada saluran rasmi untuk membawa suara dan kepentingan mereka kepada kerajaan.
Oleh Carolyne Utih