Diinspirasikan oleh minat yang mendalam dalam bidang fotografi dan pengurusan pengantin, ia telah menjulang nama seorang anak tempatan sehingga merangkul pelbagai anugerah dan dikenali oleh pelbagai masyarakat.
Menurut Franky Gassan, 39, seorang pembantu pembedahan pergigian yang juga merupakan pemilik studio pengantin mini yang dikenali sebagai Team Apai Bajik & Co, beliau mendapat inspirasi untuk memulakan bisnes tersebut setelah bekerja di sebuah studio pengantin di Sibu.
“Saya akui bahawa proses awal memulakan bisnes ini agak sukar akan tetapi saya bersyukur kerana dianugerahkan keluarga dan rakan-rakan yang amat memahami dan sentiasa menyokong minat dan usaha saya.
“Setelah itu saya mula mempromosikan pakaian tradisional Iban iaitu Ngepan Iban yang digunakan dalam pengambaran dengan menggunakan media sosial dan melalui usaha saya tersebut, sebuah studio pengantin yang dikendalikan oleh seorang yang berbangsa Cina menawarkan kerjasama untuk mempromosikan bisnes tersebut dan sejak itu ia mula dikenali lebih ramai orang,” ujarnya.
Mengulas mengenai anugerah yang diterima sejak memberanikan diri menceburi bidang tersebut, Franky menyatakan bahawa ia merupakan rezeki atas usaha yang berterusan dan komitmen yang tinggi yang diberikan.
“Saya amat bersyukur dengan pencapaian yang saya perolehi setakat ini dan antara anugerah yang saya terima ialah ‘Anugerah Ngepan Iban tercantik kategori lelaki’ dalam Pertandingan ‘Keling’ (Pekit Keling) peringkat negeri Sarawak pada tahun 2017.
“Selain itu, saya turut memperoleh lima anugerah pada tahun 2019 iaitu juara ‘Pekit Keling’ bahagian negeri Sarawak yang dianjurkan oleh ‘Raban Ngepan Iban’ di Betong, tempat kedua dalam ‘Pekit Kumang’ bahagian Kanowit, tempat ketiga ‘Pekit Keling’ Taman Meliha, tempat kedua dalam ‘Pekit Keling’ Siol Kandis dan tempat ketiga ‘Pekit Keling’ anjuran MO,” jelas beliau sewaktu ditemui Utusan Sarawak, semalam.
Dalam pada itu, Franky turut menyatakan bahawa sebahagian daripada aksesori Ngepan Iban yang digunakan adalah buatan tangannya sendiri.
“Saya menggunakan kemahiran yang saya pelajari dari orang tua untuk membuat aksesori Ngepan seperti ‘tali ujan’, ‘marik empang’, ‘kabo’, ‘rawai’ dan ‘marik leka puru’.
“Selain itu, saya juga menyediakan Ngepan Iban untuk pelbagai saiz kerana saya juga memahami bahawa agak sukar untuk mendapatkan Ngepan Iban yang bersaiz besar dan ramai yang mengimpikan untuk menggunakannya pada hari penting mereka seperti hari perkahwinan.
“Kepuasan semua orang merupakan keutamaan saya selain ingin memperkenalkan pakaian tradisional Iban kepada orang ramai agar mampu dikenali bukan hanya di Malaysia bahkan di seluruh asia,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA