
JAKARTA: Kerajaan Indonesia memberi jaminan kepada pengeluar minyak dan gas bahawa tiada lagi pengurangan kuota eksport gas pada 2026 selepas sekatan sementara dikenakan tahun ini bagi memastikan bekalan gas asli cecair (LNG) domestik mencukupi di tengah-tengah peningkatan permintaan tempatan.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia berkata, kerajaan telah menyelesaikan isu berkaitan peruntukan eksport dan meluluskan semua eksport LNG yang dikontrakkan untuk tahun depan.
“Saya berjanji kepada anda semua bahawa pada 2026 tidak akan ada lagi pengurangan kuota eksport bagi pasaran atau kontrak yang telah dimeterai di luar negara,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA, lewat Rabu.
Bahlil berkata, Indonesia berdepan defisit bekalan LNG domestik sekitar 50 kargo pada 2025 berikutan permintaan tempatan yang melebihi jangkaan, sekali gus memaksa kerajaan menangguhkan beberapa penghantaran eksport bagi mengutamakan keperluan tenaga domestik.
Beliau berkata, situasi itu berlaku kerana pengeluar LNG telah mendapatkan kontrak eksport jangka panjang semasa peringkat pelan pembangunan (POD) projek gas mereka, ketika pasaran domestik Indonesia masih belum mampu menyerap jumlah pengeluaran yang diunjurkan.
Menteri itu berkata, Presiden Prabowo Subianto telah mengarahkan kerajaan memperkukuh kedaulatan tenaga negara, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan tenaga import.
“Kini saya telah meluluskan semuanya untuk eksport. Saya telah menandatangani semuanya, tiada lagi pengurangan eksport. Kami akan mencari jalan sendiri bagaimana untuk memenuhi keperluan domestik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga bersedia membantu kontraktor kontrak perkongsian pengeluaran (KKKS) mendapatkan pembeli gas domestik sekiranya mereka menghadapi kesukaran mencari pasaran di luar negara sambil terus membangunkan rizab gas mereka.
Bahlil berkata, kerajaan telah meminta beberapa entiti berkaitan kerajaan, termasuk Perusahaan Listrik Negara (PLN), Perusahaan Gas Negara (PGN) dan agensi pelaburan berdaulat Danantara, supaya bertindak sebagai pembeli domestik berpotensi bagi memberikan kepastian pelaburan kepada projek gas huluan.
“Kami akan membelinya supaya ada kepastian. Dengan cara itu semuanya dapat diteruskan,” katanya. – Bernama