KEMENTERIAN Belia dan Sukan Sarawak (MYSS) bekerjasama dengan Persatuan Esports Sarawak (SESA) akan menganjurkan kejohanan dalam talian “MYSS e-Football Pro Evolution Soccer (PES) 21 Stay At Home” bulan depan.
Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM10,000 itu terbuka untuk semua warga belia Sarawak yang berumur 40 tahun ke bawah.
“Kejohanan ini mempunyai dua kategori iaitu Kategori Satu lawan Satu (1 vs 1) yang akan berlangsung dari 19 hingga 21 Februari, diikuti oleh Kategori Dua lawan Dua (2 vs 2) pada 26 hingga 28 Februari.
“Perlawanan akhir untuk kedua-dua kategori akan berlangsung masing-masing pada 6 dan 7 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Majlis Pelantikan Sebagai Penganjur Bersama Kejohanan ‘MYSS E-Football PES 21 Stay At Home’ di SESA Mini Esports Hub di D-Virtual Park di sini, semalam.
Menurut beliau, kementeriannya menyasarkan kira-kira 328 peserta untuk kejohanan yang akan diadakan melalui platform PlayStation 4 (PS4) ini.
Tambahnya, pendaftaran akan dibuka dari 1 hingga 13 Februari melalui laman media sosial Facebook SESA, dan ia turut disertakan dengan maklumat kriteria kelayakan pendaftaraan.
“Menerusi kejohanan ini, kami berharap dapat mengenal pasti bakat baru selain menghasilkan atlet e-sukan profesional dan mempersiapkan mereka untuk kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.
“Tambahan pula, permainan PES ini juga merupakan salah satu acara e-sukan yang akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang di Johor tahun depan,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Karim menegaskan kejohanan ini adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan serta selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di negeri ini.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, pemangku Setiausaha Tetap Kementerian, Nancy Jolhi, Pengurus Kumpulan Cawangan Serba Dinamik Sdn Bhd Kuching, Muliawadi Imran, Presiden SESAAfiq Fadhli Narawi, dan Presiden Persatuan Permotoran Sarawak (SMA) Datuk Ahmad Ibrahim.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP