
PETRA JAYA: Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali dianjurkan buat kali ketiga sejak diperkenalkan pada 2024.
Edisi tahun ini tampil dengan kelainan menerusi penganjuran Program Uji Rasa Nasi yang diadakan buat pertama kali.
Inisiatif baharu itu diperkenalkan susulan usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan industri padi dan beras Sarawak, termasuk menerusi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Padi dan Beras Sarawak yang sedang diusahakan.
Program berkenaan menjadi platform memperkenalkan serta menilai penerimaan pengguna terhadap pelbagai varieti beras tempatan dan antarabangsa, termasuk varieti padi hibrid berpotensi tinggi yang sedang diuji di Sarawak.
Antara varieti yang diperkenalkan ialah GWG A5, GWG PBRO dan GWG 3155 keluaran Green World Genetics (GWG), selain GS30 dan Honglian Louyou 8 dari Republik Rakyat China, serta varieti tempatan seperti Putra 1, MR297 dan beras tradisional Biris yang mempunyai status Petunjuk Geografi (GI) Sarawak.
Program itu turut selari dengan pendekatan kerajaan negeri menerusi model Reka Bentuk, Bina, Operasi dan Pindah (DBOT) yang menggalakkan pemain industri melaksanakan bukti konsep (POC) bagi menilai keberkesanan varieti, teknologi serta model operasi sebelum diperluaskan secara komersial.
Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan pula bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan buah-buahan tempatan yang mempunyai nilai khasiat dan nutrisi tinggi, selain mempromosikan hasil pertanian tempatan kepada masyarakat melalui barisan pemimpin negeri.
Program tersebut dianjurkan Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak serta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Oleh Masrin Affirah