

BAU: Operasi rondaan dan penguatkuasaan trafik dijalankan bagi mencegah kemalangan serta membanteras aktiviti samseng jalanan di beberapa jalan utama di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A Rahman berkata operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dari 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Menurutnya, dua anggota ditugaskan untuk menjalankan rondaan dan pemantauan trafik di sekitar Jalan Bau–Kuching, Jalan Bau–Serikin, Jalan Bau–Batu Kawa, Jalan Bau–Lundu, Jalan Jambusan, Jalan Siniawan serta kawasan Pekan Bau.
“Operasi turut memberi tumpuan kepada rondaan pencegahan kemalangan serta pemantauan aktiviti samseng jalanan di sekitar kawasan IPD Bau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 23 kenderaan diperiksa melibatkan kereta, motosikal, pacuan empat roda, MPV dan lori.
Seramai 30 individu turut diperiksa, terdiri daripada 17 lelaki dan 13 wanita.
Mohd Haide berkata, sebanyak dua saman trafik dikeluarkan.
Oleh Connie Chieng